Sabah FC tidak pinggir pemain tempatan


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

SETIAP pemain yang diturunkan pasti beraksi bermati-matian demi Sabah FC.

SABAH FC menolak dakwaan kononnya ada komplot cuba meminggirkan beberapa pemain tempatan beraksi pada Liga Super Malaysia 2022.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, apabila beliau menubuhkan satu pasukan baharu Sabah FC, tidak timbul soal isu pemain tempatan atau pemain daripada mana sekalipun hanya memanaskan badan berada dalam barisan pemain simpanan.

“Apa yang penting, saya fikir mereka mampu beraksi sebagai kesebelasan utama untuk diturunkan dalam setiap perlawanan berdasarkan prestasi mereka. Setiap pemain yang diturunkan, mereka bukan beraksi untuk diri sendiri tetapi memakai lencana kebanggaan di dada dengan memastikan Sabah FC beraksi dengan sebaik mungkin pada setiap perlawanan.

“Saya tidak nampak ini merupakan sebagai satu isu utama kecuali ada segelintir dalam kalangan mereka sengaja untuk menimbulkan masalah ini sehingga menganggu perjalanan serta persiapan dalam Liga Super Malaysia,” katanya pada Isnin.

Mengulas mengenai pertemuan dengan PJ City FC pada Rabu ini di Stadium Likas, Sabah, Kim Swee berkata, pasukan Sabah FC akan bermain 100 peratus sepenuhnya dengan turut dibarisi tenaga pemain tempatan.

Katanya, Sabah FC juga akan mengekalkan beberapa pemain import sedia ada berikutan mereka menunjukkan prestasi cemerlang ketika menentang Negeri Sembilan FC minggu lalu.

“Kita tahu pasukan PJ City FC sudah bersama lebih kurang tiga tahun dengan pemain sama dan mereka membuktikan walaupun bermain tanpa pemain import mampu beraksi dengan cemerlang.

“Sudah tentu ini merupakan satu tugasan lebih mencabar dan saya percaya pasukan PJ City merupakan satu pasukan yang cukup baik walaupun tanpa pemain import.

“Kita tahu kekuatan pemain PJ City FC berpengalaman termasuk Gurusamy, Darren Lok, Kumaran dan Mahali. Mereka ini merupakan bekas pemain kebangsaan tetapi mereka masih lagi mempunya nilai persembahan yang cukup baik,” katanya.

Justeru, Kim Swee berkata Sabah FC tidak boleh hilang fokus dan harus kekal fokus sehingga akhir perlawanan untuk mencapai keputusan positif menentang PJ City FC pada Rabu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram