SEORANG wanita berbangsa Cina tidak menyangka niatnya untuk membantu pasangan bapa dan anak yang menunggang motosikal dan terkandas di Lebuh Raya Kesas, Selangor pada 3 Mac lalu bertukar menjadi sesuatu yang menyentuh hati dan memberi pengajaran yang berguna buatnya.
Wanita yang menggunakan nama Alessandra Ng itu menerusi akaun Facebook miliknya berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika dia sedang menuju ke rumahnya selepas bekerja.
"Ketika itu sedang memandu di lorong paling kanan, saya terlihat pasangan bapa dan anak sedang menolak motosikal mereka di bahu lebuh raya. Tetapi saya tidak dapat berhenti terus kerana berada di lorong laju.
"Tetapu saya memilih untuk berpatah balik kerana jalan masih panjang, saya tertanya-tanya apa sebenarnya masalah yang berlaku," katanya.
Menerusi perkongsian Alessandra, pasanan bapa dan anak itu memberitahu yang motosikal mereka kehabisan minyak enjin dan petrol dan motosikal tidak boleh dihidupkan.
Wanita itu kemudian menyatakan hasrat untuk membantu dengan membawa mereka ke stesen minyak terdekat tetapi lelaki itu menolak dan memberitahu bahawa dia boleh berjalan sendiri ke stesen minyak.
"Berkali-kali saya nyatakan niat untuk membantu tetapi lelaki itu menolak dan saya beritahu bahawa mungkin dia tidak perlukan bantuan, tetapi anak perempuannya lebih perlukan bantuan.
"Lelaki itu memberitahu yang dia tidak mempunyai wang dan saya cuba untuk memberikan wang tetapi dia masih menolak," katanya.
Risau dengan keadaan pasangan itu, Alessandra kemudian menukar cara bantuan dengan memberitahu yang dia akan meminjamkan wang kepada lelaki berkenaan dan lelaki itu tiba-tiba menangis.
Jelasnya, dalam tangisan itu, lelaki itu memberitahu yang beberapa pengguna lebuh raya yang lain ada datang untuk membantu tetapi dia tidak mempunyai wang untuk dibayar kepada mereka yang ingin memberinya bantuan.
"Selepas memberitahu yang wang itu adalah untuk dipinjamkan barulah dia setuju untuk dibantu dan ketika dalam perjalanan mencari stesen minyak, lelaki itu memberitahu yang mereka sebenarnya telah kehilangan ahli keluarga dan sedang dalam perjalanan ke Melaka.
"Selepas itu kami berjaya menemukan stesen minyak untuk membeli minyak enjin dan lelaki itu dapat mengisi minyak motosikalnya," katanya.
Menurut Alessandra, kejadian pada malam itu memberinya banyak makna terutamanya bagi seorang ayah yang memikul tanggungjawab berat bersama dengan anak perempuannya.
Jelasnya, mungkin dia tidak mahu menerima wang daripada orang yang tidak dikenali begitu sahaja kerana mahu menunjukkan contoh yang baik buat anaknya kerana setiap orang memiliki maruah.
Tambahnya, kejadian pada malam itu adalah sesuatu yang menggembirakannya dan berharap supaya tiada siapa yang akan bersikap mementingkan diri sendiri dan membantu dengan cara yang paling sesuai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram