Pendeposit TH berusia lebih 18 tahun diminta tukar status Akaun Dewasa


  • Bizz
  • Selasa, 08 Mac 2022

BAGI penukaran status akaun, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan turut disaran untuk hadir bersama anak mereka, selain semua pendeposit disaran memastikan akaun mereka berstatus aktif. — The Star

PENDEPOSIT Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah melebihi umur 18 tahun dan masih memegang Akaun Kanak-Kanak diminta untuk menukar status akaun mereka kepada Akaun Dewasa.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab berkata, penukaran status akaun perlu dilakukan sebelum 1 Mei ini memandangkan Akaun Kanak-Kanak hanya boleh ditadbir oleh penjaga bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

"Pengumuman pelanjutan tempoh (yang dibuat) pada bulan November tahun lepas adalah untuk memberi peluang kepada pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dan penjaga untuk melakukan proses penukaran status di cawangan-cawangan TH berdekatan.

"TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun bermula Isnin, 2 Mei 2022. Dalam masa yang sama, status pautan akaun antara akaun penjaga di bank dan Akaun Kanak-Kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamed Ameen berkata, bagi tujuan penukaran status akaun, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan turut disaran untuk hadir bersama anak mereka, selain menyarankan semua pendeposit memastikan akaun mereka berstatus aktif.

"Ia untuk (membolehkan mereka) terus menikmati manfaat menyimpan di institusi ini termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, pengecualian cukai pendapatan selain boleh menyertai pelbagai kempen anjuran TH," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi TH menerusi www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi khidmat pelanggan melalui talian 03-62071919. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram