Majikan harus permudah cuti kuarantin, kurangkan birokrasi — Cuepacs


  • Massa
  • Selasa, 08 Mac 2022

MAJIKAN juga perlu mempertimbangkan kemudahan bekerja dari rumah, sekiranya kakitangan terbabit boleh melaksanakan kerja berkenaan di rumah. — Gambar hiasan

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta semua ketua jabatan mengambil maklum berkaitan pekeliling baharu, melibatkan kemudahan cuti kuarantin dan membuat pertimbangan rasional jika terdapat kakitangan memohon cuti berkenaan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, mereka perlu memudahkan urusan serta tidak terlalu mengamalkan birokrasi berlebihan, selain pertimbangan juga perlu diberikan bagi kemudahan bekerja dari rumah sekiranya kakitangan terbabit boleh melaksanakan kerja berkenaan di rumah.

Pada masa sama, beliau berkata, Cuepacs berharap penjawat awam tidak mengambil kesempatan menggunakan cuti kuarantin itu bagi tujuan tidak sepatutnya kerana penyampaian perkhidmatan harus terus bergerak ke hadapan walau apa pun berlaku.

"Gunakan kemudahan diberikan kerajaan ini dengan sebaiknya. Harus diingatkan bahawa penjawat awam adalah merupakan barisan hadapan negara dalam memastikan pemulihan ekonomi dapat berjalan dengan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada Selasa memaklumkan, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti kuarantin kepada lain-lain penyakit berjangkit yang perlu dikuarantin atau memerlukan pengasingan berkuat kuasa 4 Mac.

Mohd Shafiq memaklumkan, kerajaan telah menambah baik kemudahan itu yang sebelum ini terhad kepada enam jenis penyakit berjangkit dengan memasukkan lain-lain penyakit berjangkit, yang diperakukan pegawai perubatan kerajaan atau swasta selain daripada penyakit sedia ada dalam senarai berkenaan.

Beliau berkata, dengan penambahbaikan itu, nama kemudahan cuti kuarantin kini dipinda kepada 'kemudahan cuti menjaga anak yang dikuarantin atau memerlukan pengasingan’.

Sementara itu, Adnan berkata, usaha itu diharap dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam yang terkesan dengan penularan Covid-19, di samping ia juga mengurangkan risiko berlakunya penutupan operasi perkhidmatan awam.

"Kita tidak mahu kakitangan yang mempunyai anak kecil menghidap Covid-19 terpaksa datang ke pejabat walaupun mereka kontak rapat dan perlu menjaga anak mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram