RUSIA tidak mempunyai kaitan dengan kenaikan dan harga bahan tenaga yang tidak menentu di pasaran, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak pada Isnin lapor Xinhua.
Eropah menggunakan kira-kira 500 bilion meter padu gas setahun dan 40 peratus datangnya dari Rusia, katanya dalam satu kenyataan yang turut menyifatkan negara-negara di Eropah sebagai 'rakan kongsi yang boleh dipercayai'.
Syarikat gergasi industri gas Rusia, Gazprom memenuhi sepenuhnya kewajipan kontraknya untuk membekalkan gas ke Eropah, tegas Novak.
Rusia menyediakan kira-kira 30 peratus daripada penggunaan minyak Eropah dan merupakan pembekal terbesarnya.
Novak berkata, Rusia sudah memenuhi sepenuhnya semua kewajipannya, minyak dan produk minyak sedang dihantar ke pasaran Eropah seperti dirancang.
Harga bahan tenaga meningkat akibat pandemik Covid-19 dan yang terbaharu disebabkan konflik Rusia-Ukraine.
Menurut anggaran pejabat perangkaan Kesatuan Eropah, Eurostat, harga bahan tenaga dijangka meningkat 31.7 peratus di seluruh zon euro pada Februari. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram