'Apa guna ada bangunan kedua tertinggi dunia, tapi KL ditenggelami banjir'


KEADAAN kenderaan orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang ini sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

PADA Isnin, beberapa kawasan di Lembah Klang dilanja banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak pukul 2.30 petang.

Hujan lebat mengakibatkan paras air beberapa sungai di sekitar Lembah Klang berada dalam trend menaik, antaranya Sungai Gombak (Jalan Tun Razak) yang melepasi aras bahaya, manakala Sungai Batu (Sentul), Sungai Klang (Jambatan Sulaiman dan Lebuh Pasar) dan Sungai Gombak (Jalan Parlimen) melepasi aras amaran.

Di media sosial, netizen berkongsi rakaman video air yang naik hingga menyebabkan kenderaan yang diparkir terutamanya di kawasan terbuka tenggelam dan ada pemandu kereta yang terpaksa memberhentikan kereta di tengah jalan berikutan jalan yang tidak dapat dilalui.

Seorang pengguna Facebook meluahkan kekecewaannya berhubung insiden tersebut dan menggesa pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah yang berulang kali berlaku itu.

"Kita ada bangunan kedua tertinggi di dunia dan hari ni kereta tenggelam dalam air di KL.

"Selesaikan masalah saliran sebelum bina pencakar langit yang hodoh!" katanya yang merujuk kepada menara Merdeka 118 yang terletak di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.

WhatsApp Image 2022-03-07 at 21.30.00

Luahan pengguna Facebook berkenaan pada Isnin.

Banjir kilat itu juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong Smart melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kementerian itu memandang serius isu berkenaan yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam hingga ada kenderaan ditenggelami air.

"Walaupun ia berlaku dalam keadaan yang cukup pantas, pada saya ia bukan alasan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Justeru, kita akan melakukan perbincangan lanjut bersama DBKL bagi mencari penyelesaian terbaik bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Pada masa sama, saya akan menjawab berkaitan isu ini di Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram