Kuala Lumpur dilanda banjir, air naik setinggi 3 meter


  • 112
  • Isnin, 07 Mac 2022

AIR naik setinggi tiga meter di Jalan Raja Bot dan kawasan sekitar Kampung Periok, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

BEBERAPA kawasan utama di Lembah Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat kira-kira satu jam yang bermula pukul 3 petang pada Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada yang tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

Jelasnya, antara kawasan terlibat ialah Jalan Chan Show Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.

eb018a11-5c73-4bd2-803c-2df57bf78f61

KEADAAN air yang naik sehingga tiga meter di Kampung Baru, Kuala Lumpur ekoran hujan lebat pada petang Isnin.

"Air naik setinggi tiga meter di Jalan Raja Bot dan kawasan Kampung Periok, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kita telah mengeluarkan orang awam di lokasi yang terlibat dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru.

"Selain itu, kita turut memindahkan kira-kira 100 orang mangsa yang terperangkap banjir di Kampung Pasir, Kuala Lumpur," katanya.

Berikutan itu, Terowong SMART ditutup untuk pengoperasian banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman telah dibuka, dan anggota polis dari Balai Polis Chow Kit kini sedang membantu kerja-kerja pemindahan.

Hujan lebat itu turut mengakibatkan paras air beberapa sungai di sekitar Lembah Klang berada dalam trend menaik, antaranya Sungai Gombak (Jalan Tun Razak) yang melepasi aras bahaya, manakala Sungai Batu (Sentul), Sungai Klang (Jambatan Sulaiman dan Lebuh Pasar) dan Sungai Gombak (Jalan Parlimen) melepasi aras amaran.

"Nadma ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, jurucakap JBPM Kuala Lumpur juga mengesahkan sebuah video tular berdurasi 25 saat, yang menunjukkan beberapa kenderaan awam ditenggelami air akibat banjir kilat di Jalan Kuchai Lama kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

"Kami menerima puluhan panggilan kecemasan memaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan Lembah Klang. Pihak JBPM akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam video tular itu, kelihatan beberapa kenderaan terkandas berikutan laluan jalan raya telah dinaiki air, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram