24 buah kereta dihempap pokok tumbang di HCTM Cheras


  • 112
  • Isnin, 07 Mac 2022

KEADAAN kereta yang dihempap empat pokok yang tumbang di kawasan letak kenderaan di HCTM, Bandar Tun Razak, Cheras pada Isnin. — Facebook
SEBANYAK 24 buah kereta mengalami kerosakan selepas ditimpa pokok tumbang di kawasan letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang sejak awal petang Isnin.

"Dalam kejadian tersebut, sebanyak empat pokok telah tumbang dan mengakibatkan kerosakan kepada 24 buah kenderaan yang meletak kenderaan di kawasan berhampiran.

"Selain itu, satu pokok tumbang juga dilaporkan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan kerja-kerja mengalih pokok tersebut yang mengakibatkan kesesakan jalan raya telah dilakukan," katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad Idzam turut memaklumkan beberapa kawasan dilanda banjir iaitu di kawasan berhampiran bangunan PGRM, Sunway Velocity, Jalan Tasek Selatan, Lebuhraya Kesas Berhampiran Awan Besar dan simpang laluan masuk ke Balai Bukit Jalil, Cheras.

Selain itu, kawasan di Jalan Chan Sow Lin dan pekan Salak South juga dinaiki air sehingga ke paras lutut dan lalu lintas ditutup sementara.

Tambahnya, air juga naik di Lebuhraya Bukit Jalil sehingga ke Tol Awan Besar namun laluan masih boleh digunakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram