Banjir kilat: TNB tutup bekalan elektrik beberapa pencawang


  • Primer
  • Isnin, 07 Mac 2022

PENUTUPAN bekalan elektrik itu dilakukan untuk memastikan keselamatan pengguna. — The Star

TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik di ibu negara susulan banjir kilat bagi memastikan keselamatan pengguna.

TNB menerusi hantaran di Facebook memaklumkan antara kawasan dan bangunan terjejas adalah Bukit Aman, Bukit Bintang, Jalan Kebun Bunga, Hospital Tang Lin, Pangsapuri Sri Jati serta beberapa hotel terkemuka.

"Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” menurut hantaran itu.

Menurut TNB, penutupan bekalan elektrik akan dilakukan di pencawang yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko serta membahayakan pengguna.

Sementara itu dalam hantaran berlainan, TNB meminta orang ramai menghubungi talian 15454 jika melihat tiang elektrik tumbang atau wayar putus.

"Berhati-hati dengan persekitaran anda dan jaga keselamatan ketika berada di dalam kenderaan semasa banjir,” menurut hantaran itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram