Muda ditegur soal tiada pengalaman, pemikiran tidak matang


PARTI Muda dikecam kerana menceroboh premis tanpa kebenaran. — Gambar hiasan/Bernama

KECOH baru-baru ini apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didakwa menceroboh aset milik PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings) untuk digunakan sebagai bilik gerakan parti berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut kenyataan PIJ Holdings, aset inkubator usahawan milik syarikat itu di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru, Johor Bahru, Johor dibangunkan bagi membantu usahawan muda memulakan langkah dalam bidang perniagaan.

Jelas syarikat itu, ia tidak sesekali dibangunkan untuk tujuan pusat operasi mana-mana parti politik.

Laporan polis juga sudah dibuat dan parti Muda diminta mengosongkan premis tersebut dengan segera.

Muda bagaimanapun dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menegaskan mereka telah menyewa premis dan mempunyai perjanjian bertulis sebagai bukti.

Malah Muda menganggap laporan polis oleh PIJ Holdings sebagai tindakan intimidasi kempen parti itu.

Menjengah ruangan komen di media sosial, rata-rata warganet 'menegur' tindakan Muda.

"Bukan tak setuju budak-budak muda jadi pemimpin. Tapi itulah bila pengalaman tiada, pemikiran tidak matang.

"Macam mengarut saja parti anak-anak muda ini. Nampak macam gelojoh sangat, awal-awal lagi dah lapar kuasa," kata seorang pengguna Facebook, Megat Terawis.

"Ini pasallah orang muda kurang sesuai berpolitik. Semua nak main langgar sahaja, tak ada adab dan kesusilaan langsung.

"Tak mampu nak buat bilik gerakan kalau nak tumpang tempat orang boleh, tapi tak reti nak mintak izin dulu ke?" ujar seorang lagi pengguna Facebook, Fairuz Razi Zakaria.

Parti Muda bakal bertanding di tujuh kerusi pada PRN Johor.

Antara calon mewakili Muda iaitu pengerusinya, Azrol Rahani yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz pula bakal bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram