PKR desak tamatkan kerjasama dengan Muda


  • Politik
  • Sabtu, 26 Feb 2022

KETUA Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar. — The Star

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerjasama politik antara parti itu bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dihentikan serta merta.

Ketua Penerangannya, Halimey Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, tindakan Muda yang meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin jelas menunjukkan parti itu tidak menghormati kerjasama yang dijalinkan bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Umum mengetahui PKR meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN Larkin dan tindakan Muda akan memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Kami menggesa sebarang kerjasama politik antara PKR dan PH bersama Muda dihentikan serta merta dan gabungan ini meletakkan calon untuk menghadapi PRN Johor di setiap kerusi yang ditandingi Muda,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh jentera pilihan raya PKR dan PH untuk meningkatkan usaha memberi pencerahan kepada rakyat Johor bagi memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa dan mentadbir kerajaan negeri Johor.

Muda pada Khamis mengumumkan bahawa Rashid Abu Bakar akan menjadi calon parti itu bagi merebut kerusi Larkin walaupun PKR sudah mengesahkan calonnya, Dr Zamil Najwah Arbain lebih awal.

Ini bermakna, DUN Larkin bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional); Mohd Hairi Mad Shah (BN); Norramadan Buan (Bebas) dan Riadz Mohamad (Pejuang). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram