KEHADIRAN ketua jurulatih baharu bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon di Stadium Sultan Ibrahim untuk menonton Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Sabtu lalu mengundang respon kurang senang segelintir para peminat.
Mereka mendakwa kehadiran Pan-gon pada perlawanan itu mempunyai kaitan dengan isu 'tangan ghaib'.
Tidak hanya berdiam diri, Pan-gon membidas kembali dakwaan tersebut.
"Salahkah saya ke Stadium Sultan Ibrahim bagi melihat perlawanan Piala Sumbangsih iaitu salah satu kejuaraan dalam Malaysia?
"Saya datang bersama pasukan saya yang ingin melihat sendiri kemampuan para pemain tempatan dalam semua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) dan saya tidak akan tertumpu pada satu pasukan sahaja.
"Saya juga ingin menekankan di sini bahawa pemilihan pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama tidaklah hanya tertakluk sama ada pemain itu adalah pemain tempatan, warisan mahu pun naturalisasi," katanya.
ANTARA komen warganet di media sosial. — Facebook
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, rata-rata warganet bersetuju dengan jawapan Pan-gon dan sebaliknya mendakwa para penyokong bola sepak negara sendiri yang menjatuhkan mutu sukan berkenaan.
"Tangan ghaib sebenar adalah penyokong Harimau Malaya sendiri, sibuk dengan kerja jurulatih.
"Mereka yang nak menentukan sendiri pemain mana yang layak untuk mewakili negara, acah-acah macam ada lesen kejurulatihan profesional," kata seorang pengguna Facebook, Mohd Zamry.
Seorang lagi pengguna Facebook, Min Chik Min mahu semua pihak menghormati tugas Pan-gon dan memberi ruang kepadanya.
"Biarlah dia buat kerja dia, itu cara dia. Dia rajin, nak cakap macam mana.
"Dah terlalu lama kita nak ada jurulatih yang terima pandangan daripada pihak lain. Kali ini jurulatih sendiri cari pemain, baguslah.
"Kalau setakat nak complaint, nak tunjuk itu ini, sedangkan kau tak tahu apa-apa pasal kejurulatihan, baik kau diam. Jangan jadi tikus perosak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram