PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengenakan tindakan hukuman ke atas dua tonggak Penang FC baru-baru ini.
Pemain itu ialah Endrick Dos Santos Parafita yang dikenakan hukuman gantung selama dua minggu daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.
Seorang lagi pemain, Anselmo Arruda Da Silva dikenakan hukuman lebih keras apabila digantung selama sebulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.
Hukuman ke atas kedua-dua pemain itu dikenakan susulan insiden pergaduhan yang tercetus dalam perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu, Terengganu FC II lawan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 9 Februari 2022.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Kamarul Aries berpendapat isu penggantungan membabitkan kedua-dua pemain berkenaan perlu dilihat dari sisi positif.
TANGKAP layar komen yang ditinggalkan Kamarul Aries di laman Facebook Penang Brotherhood.
Menerusi komen yang ditinggalkan di pautan berita Majoriti yang dikongsikan oleh Facebook Penang Brotherhood, Kamarul Aries berkata, inilah masanya untuk melihat pemain tempatan dan import baharu beraksi.
"Pandang positif ja, ini peluang nak tengok player tempatan dan import baharu beraksi.
"Sebab tengok friendly match baru ni, dua player tu kurang konsisten. Inilah masanya player lain tonjolkan diri. Anda mampu.
"Walaupun coach kita sekarang kurang yakin dengan player tempatan. Harap Coach Manzoor lulus ujian jurulatih dan dapat kendalikan Penang FC sepenuhnya," tulisnya pada Jumaat.
Pendapat itu turut dipersetujui Penang Brotherhood yang membalas komen tersebut dengan menyatakan prestasi Endrick dilihat tidak konsisten.
"Betul...off form tengok baru ni. Passing pun melalut si Endrick tu." katanya.
Endrick menjalani hukuman berkuat kuasa 24 Februari 2022 hingga 9 Mac 2022, didenda RM1,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Pada masa sama, Anselmo menjalani hukuman itu berkuat kuasa 24 Februari 2022 hingga 25 Mac 2022, didenda RM3,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Kedua-dua keputusan itu tidak boleh dirayu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram