
HANYA dengan satu video tular, secara automatik bantuan yang sebelum ini amat susah diluluskan disebabkan beberapa faktor akan terus mendapat perhatian pihak berwajib dan segala bantuan yang dipohon sebelum ini akan terus sampai ke rumah.
Itu antara perkara ajaib yang berlaku dalam negara dan bukan sekali dua, malah sudah saban tahun berlaku. Malah, 'kesaktikan' kuasa tular ini begitu hebat sehingga mampu melangkau segala kerenah birokrasi dan segala kekangan yang sebelum ini dialami pemohon akan segera lenyap.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Dayana Mohammed yang meluahkan realiti kesukarannya untuk mendapat bantuan buat ibunya yang lumpuh berstatus OKU terlantar.
Dalam masa 24 jam video itu tular, berduyun-duyun bantuan tiba dan Dayana juga tidak perlu bersusah payah berurusan di pejabat kerajaan untuk mengisi borang dan sebagainya, sebaliknya pihak yang berkenaan terus datang ke rumah dengan senyuman.
Masalah yang membelenggu Dayana daripada menerima bantuan selama dua tahun secara tiba-tiba dapat diselesaikan dengan sekelip mata.
Syukur, Dayana sudah mendapat bantuan yang sepatutnya. Pihak yang diberikan tanggungjawab juga sudah menunaikan amanah yang dipikul. Tetapi disebalik apa yang berlaku, netizen masih lagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap isu ini.

TANGKAP layar komen yang ditinggalkan netizen selepas video bantuan terhadap Dayana tular di media sosial. — Facebook
"Orang itu sudah setengah mati menderita. Kalau tak viral, siapa pun tiada rasa simpati dan tanggungjawab," katanya Chulan.
Perkara sama turut dinyatakan Razana Binti Aris yang berkata, bila video dah viral, barulah semua pihak nak buat kerja sedangkan setiap pejabat kebajikan daerah mempunyai peruntukan mereka.
Darwish Qeesya pula berkata, bila dah tular, alasan borang hilang sudah automatik hilang dan bantuan terus dihulur ke rumah.
"Bila dah tular, baru nak bagi bantuan. Kalau tidak, semua borang hilang. Fikir sikit orang turun naik jabatan pakai modal. Yang mana ada kuasa tolonglah turun ke bawah cari orang susah," kata Nisfu Wok.

TANGKAP layar komen yang ditinggalkan seorang netizen berkaitan isu bantuan yang dipohon Dayana. — Facebook
Namun, seorang pengguna media sosial bernama, Sejati Sejati, ada beberapa sebab yang membuatkan bantuan tersebut tidak sampai kepada Dayana.
"Mereka tak potong nama dalam Zakat Selangor, kemudian faktor kesihatan balik ke Perak dan mohon di sana. Memang tidak boleh hantar permohonan kalau masih ada nama di Selangor.
"Setiap negeri pula ada kemas kini setiap hujung tahun untuk elakkan penyalahgunaan pihak penerima bantuan dan emreka pindah pada waktu hujung tahun, sudah tentu kedua-dua negeri pun tak boleh hantar permohonan," katanya.
Pengakhiran kepada isu ini, Dayana sudah menerima bantuan dan berkemungkinan, ada ramai lagi pemohon bantuan yang berhadapan dengan masalah sama seperti Dayana.
Esok lusa mungkin ada lagi video tular seperti Dayana dan jalan ceritanya juga sama. Perdebatan di media sosial dan tuduhan netizen terhadap pihak berkenaan juga tidak berubah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram