'Borang hilang antara alasan,' Video Kak Yana dah tular, baru JKM dan PPZ bertindak


  • Tular
  • Rabu, 23 Feb 2022

DAYANA juga menjaga ibunya yang lumpuh berstatus OKU terlantar. — Facebook

KECEWA dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Lembaga Zakat (PLZ) Perak, itu luah seorang pengguna laman sosial, TikTok yang dikenali sebagai Kak Yana.

Berkongsi video di TikTok, Kak Yana nama sebenar Dayana Mohammed meluahkan realiti yang berlaku pada dirinya yang berdepan kesukaran untuk mendapat bantuan buat ibunya yang lumpuh berstatus OKU terlantar.

Katanya ketika dihubungi Majoriti, dia sudah membuat permohonan berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Sebelum ini saya tinggal di Kuala Lumpur dan membuat permohonan di sana sebelum berpindah ke Teluk Intan, Perak.

"Saya jangkakan permohonan saya sudah diproses tetapi sudah dua tahun tidak ada sebarang maklum balas daripada mereka," katanya.

Dalam video berkenaan juga, Dayana turut menceritakan bahawa dia sudah turun naik pejabat JKM dan PLZ Perak, namun pelbagai alasan yang diterimanya termasuk borang hilang.

Selepas video tersebut menjadi tular, Dayana memberitahu pihak JKM sudah datang ke rumahnya dan memaklumkan bahawa mereka akan segera menguruskan permohonan tersebut.

Bagi permohonan LPZ pula Dayana memberitahu, dia sudah dihubungi dan dimaklumkan bahawa berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan permohonannya masih belum diproses.

"LPZ Perak memberitahu bahawa berlaku salah faham yang mana mereka sebenarnya tidak menerima sebarang borang prmohonan daripada pihak LPZ Kuala Lumpur.

"Oleh yang demikian, mereka tidak dapat berbuat apa-apa tentang perkara tersebut dan akan menguruskan permohonan saya secepat mungkin," ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Katanya lagi, dia berterima kasih kepada orang ramai yang membantu berkongsi videonya kerana jika ia tidak tular belum tentu pihak berkaitan akan memberi respon dengan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram