SEORANG penganut Hindu meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap individu yang menjadikan kuil Batu Caves sebagai tempat beriadah.
Menerusi hantaran Facebook Sam Gv pada Ahad, dia berharap supaya rakyat Malaysia lebih peka dengan fungsi kawasan ibadah dan menghormati penganut yang hadir ke Batu Caves untuk bersembahyang.
"Saya berada di kuil (Batu Caves) setiap pagi Ahad dan hari ini saya benar-benar tidak dapat menerimanya, jadi saya pergi ke kaunter dan bercakap dengan salah seorang wanita di situ.
"Saya bertanya kepadanya mengapa tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang berjoging di sini. Katanya, pihak kuil sudah menegur golongan tersebut tetapi ramai yang masih melakukannya.
"saya bertanya mengapa tidak diletakkan sebarang papan tanda tetapi menurutnya papan tanda yang pernah diletakkan sebelum ini tidak dinaikkan semula selepas pengubahsuaian kuil," katanya.
Hantaran Facebook Sam Gv pada Ahad.
Dia berharap, pengurusan kuil akan melakukan sesuatu mengenai perkara itu dan mahu kerjasama daripada orang ramai supaya tidak menjadikan kawasan itu sebagai tempat beriadah.
"Harap pihak pengurusan akan lakukan sesuatu mengenai perkara ini, jangan lupa ini adalah tempat kita dan untuk kita sembahyang.
"Harap semua orang ingat ini adalah kuil dan bukan tempat untuk berjoging dan mendaki," tegasnya.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan komen kuil berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram