Kami tidak pernah bertelagah — Hajiji


  • Politik
  • Ahad, 06 Feb 2022

HAJIJI menegaskan kerajaan Sabah diterajui GRS hanya mempunyai masa kurang empat tahun untuk membantu rakyat negeri itu. — The Star

KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor pada Ahad menolak dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin retak, sebaliknya menegaskan hubungan antara pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu adalah kukuh.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata, beliau tidak dapat menjadi Ketua Menteri dan kekal dalam jawatan itu tanpa sokongan padu semua rakan komponen parti dalam GRS.

"Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung (Moktar) ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami.

"Hubungan saya dengan Datuk Bung, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden Parti Bersatu Sabah - PBS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku - Star) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena penutupan Pemukiman Kelab Penyokong Kerajaan GRS, yang diadakan pada Sabtu.

GRS adalah gabungan yang disertai Perikatan Nasional (PN - Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (BN - Umno, PBRS, MIC dan MCA) dan PBS.

GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 apabila memenangi 41 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, sekali gus menumbangkan gabungan Warisan Plus (Warisan, Upko dan DAP) yang memperoleh 32 kerusi.

Selepas pembentukan kerajaan negeri, GRS memperoleh tambahan enam kerusi melalui enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik dan seterusnya lima Adun pembangkang menyertai GRS menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN kini 52.

Hajiji, juga Pengerusi PN Sabah berkata, beliau dan Bung Moktar yang merupakan Pengerusi BN Sabah, berbincang mengenai perlunya melindungi mandat yang diberikan rakyat kepada GRS serta kerajaan Sabah diterajui GRS hanya mempunyai masa kurang empat tahun, untuk berusaha keras demi rakyat sebelum mandat itu berakhir.

Berhubung isu pendaftaran GRS secara rasmi, Hajiji berkata, beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

"Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi. Saya percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi, ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hajiji noor, bung moktar, bersatu, Umno, GRS