KES harian baharu Covid-19 negara terus menunjukkan angka membimbangkan apabila merekodkan 10,089 kes baharu pada Ahad berbanding 9,117 kes yang dicatatkan pada Sabtu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di media sosialnya, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia kepada 2,914,220 kes setakat ini.
Noor Hisham memaklumkan Selangor merupakan penyumbang terbesar kes dengan 2,549 kes baharu direkodkan, diikuti Johor (1,582), Sabah (1,285) dan Kedah (904).
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 6,460 kes sembuh baharu direkodkan pada Ahad, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,812,614.
Selain itu, sebanyak 137 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 71 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 11 kluster baharu dicatatkan pada Ahad dan jumlah kluster mencecah 6,499. Daripada jumlah berkenaan, hanya 361 kluster masih aktif.
Tambah kenyataan tersebut, daripada 10,089 kes yang dilaporkan pada Ahad, sebanyak 77 kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 10,012 kes (99.2 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram