MALAYSIA kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron dan kes harian Covid-19 dijangka mencecah 15,000 tidak lama lagi.
Situasi itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter pada Ahad.
"Masih satu juta warga emas di negara belum menerima dos penggalak (vaksin Covid-19). Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” ujar ciapan berkenaan.
Beliau berkata, demikian sebagai maklum balas perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya berhubung imej Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) kes harian Covid-19 dan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 31 Mac ini.
Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Khairy turut menyeru orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan menekankan tujuan utama vaksin Covid-19 adalah bagi mengurangkan keseriusan gejala.
"Dengan dos penggalak perlindungan anda daripada gejala serius yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital/ICU (unit rawatan rapi) lebih baik. Dapatkan suntikan dos penggalak,” katanya.
Malaysia kembali merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi 10,000 apabila 10,089 kes baharu dilaporkan pada Ahad berbanding 9,117 pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini meningkat kepada 2,914,220 kes. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram