RAMAI pelanggan CIMB Malaysia (CIMB Bank) dilaporkan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan bank berkenaan yang dikatakan kerap mengalami masalah sistem.
Masalah berkenaan didakwa menyebabkan sebahagian pelanggan tidak dapat mengeluarkan dan memindahkan wang, akaun dibeku, malah dicaj dengan amaun yang tidak munasabah.
Rata-rata mereka meluahkan rasa berang di ruangan komen dalam hantaran di media sosial Facebook, CIMB Malaysia.
Salah seorang pengguna, Hasanah Marzuki bertanya di ruangan komen berhubung akaunnya yang dicaj oleh perkhidmatan aplikasi Grab.
Katanya, akaun simpannya dicaj kira-kira RM200 dan perkara itu amat pelik kerana dia tidak mempunyai akaun perkhidmatan tersebut.
"Saya mahu bertanya, saya tidak ada akaun Grab tetapi bagaimana duit saya boleh dicaj oleh aplikasi berkenaan.
" Bukan RM2 atau RM3 tetapi anggraan RM200," tulisnya.
Pemilik akaun Shikin Shahmir pula berdepan masalah berbeza yang mana dia mendakwa akaunnya dibekukan dan baki simpanannya juga dinyatakan dengan jumlah RM0.
"Kenapa akaun saya tidak tolak caj ansuran telefon, malah saya tidak boleh lakukan pemindahan wang ke akaun lain.
"Saya juga dapat mesej seperti orang lain, akaun saya dibekukan dan baki juga kosong," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan CIMB Bank, Nik Amer pula mempersoalkan di ruangan komen tentang akaunnya yang secara tiba-tiba mempunyai hutang.
"CIMB kenapa akaun simpanan boleh ada hutang ? Pakai pun kad debit ikut baki akaun dan bukan akaun kredit ni.
"Masalah sistem sudah tolak semua duit pelanggan dan sekarang akaun tidak boleh guna pula," katanya.
Selain masalah yang dinyatakan, ada juga pelanggan yang mendakwa, perkhidmatan pelanggan CIMB Bank juga tidak begitu memuaskan.
Ada yang mendakwa panggilan mereka sering kali ditamatkan sebelum dapat bercakap dengan pegawai khidmat pelanggan.
Meskipun begitu, berdasarkan komen yang ditinggalkan pelanggan, pihak CIMB dilihat turut memberikan respons dengan meminta maklumat lebih lanjut kepada pelanggan.
Majoriti sedang menunggu respons pihak CIMB berhubung dakwaan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram