'Saya cuai, khilaf' — Ibu 'remaja jenazah'


  • Primer
  • Isnin, 17 Jan 2022

JASMA bercakap kepada pemberita selepas mendengar keputusan semakan semula hukuman terhadap anaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

IBU kepada remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' kerana disyaki mencuri tabung masjid, mengakui kecuaian dalam membesarkan anak mungkin menjadi antara punca menyebabkan remaja itu terabai hingga terlibat dalam jenayah.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Jasma, 41, berkata, apapun kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu adalah berpunca daripada dirinya dan bekas suami yang khilaf dalam mendidik serta membesar remaja tersebut.

"Pengajaran saya dapat dalam hal ini, apapun kesalahan punca datang daripada ibu bapa. Saya akui kesilapan yang membuatkan dia terabai dan membawa diri.

"Bagi saya ini adalah kecuaian diri saya sebagai ibu," katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan semakan semula hukuman terhadap Daniel Iskandar, 19, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan tersebut, Jasma berkata, dia sangat bersyukur dan berpuas hati terhadap perintah mahkamah supaya Daniel Iskandar menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat selama 120 jam.

Daniel diarah berbuat demikian selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman awal 10 hari penjara dan denda RM4,000.

Jasma juga tidak mahu memaksa anaknya itu untuk tinggal bersama dia atau datuknya kerana merasakan remaja itu sudah cukup besar untuk membuat keputusan sendiri.

"Saya serahkan keputusan untuk tinggal dengan siapa selepas ini kepada dia sendiri. Sebab saya tak nak ada paksaan.

"Kalau saya kata duduk dengan saya, khuatir nanti dia akan memberontak. Mungkin lebih daripada ini, dia boleh buat buat. Cuma sekarang ini, saya mahu dia dapat pendidikan dan kesedaran," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram