PERSATUAN Peguam Muslim Malaysia (PPMM) akan berusaha melaksanakan saranan pendamaian dari Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kes hukuman masjid terhadap Daniel Iskandar, 19, yang dihukum mandi jenazah akibat disyaki mencuri tabung masjid, secepat mungkin.
Peguamnya, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, pihaknya telah berhubung dengan peguam yang mewakili Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Islahiah bagi menyampaikan saranan tersebut.
"Mereka pun bersetuju untuk menyampaikan apa saranan Hakim Mahkamah Tinggi kepada AJK masjid tersebut untuk membuat satu rundingan secara baik bagi menjernihkan keadaan antara pihak terlibat.
"Ini membabitkan pihak imam dan AJK masjid, individu yang merakam, individu yang membuat tularan rakaman serta kesemua ahli keluarga Daniel Iskandar termasuk remaja itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Sementara itu, Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataan petang Isnin berkata, pihaknya akan berusaha melaksanakan saranan pendamaian dari Mahkamah Tinggi Shah Alam secepat mungkin.
“PPMM sebagai pengantara proses saranan tersebut akan cuba menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik,” katanya.
Pada prosiding semakan kehakiman itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Halim Aman mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepada Daniel dan digantikan dengan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Abd. Halim turut membuat saranan agar pihak masjid dan mereka yang merakam dan menular insiden tersebut membuat permohonan maaf kepada Daniel dan masyarakat secara umumnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram