KES kecurian tabung masjid melibatkan seorang remaja 19 tahun yang juga dikatakan penagih dadah masih heboh diperkatakan biarpun mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepadanya.
Antara yang rancak diperdebatkan netizen adalah hukuman yang diambil oleh pihak masjid dengan memandikan remaja itu seperti jenazah dipercayai kerana sudah muak dengan perangai remaja berkenaan.
Ini kerana rakaman video itu yang pada asalnya hanya sebagai rekod masjid untuk disimpan sebagai bahan bukti, menjadi tular sehingga dikatakan boleh mendatangkan rasa malu kepada remaja itu serta ahli keluarganya.
TANGKAP layar komen Norafiza yang berharap satu penyelesaian berhemah dapat diambil. — Facebook
Seorang pengguna Facebook, Norafiza Shabur Zahari berkata, satu penyelesaian yang lebih berhemah perlu diambil seperti cadangan yang boleh menjernihkan keadaan antara kedua-dua belah pihak.
"Apabila kita terlalu memfokuskan perkara yang telah berlaku, kadang-kadang kita terlupa perkara sepatutnya kita buat. Kita beri komen hingga tidak adil kepada mereka.
"Pak imam dan ahli jawatankuasa masjid sahaja yang tahu dan mengenali anak kariah mereka, cari atau jadilah orang tengah yang mendamaikan," katanya di Facebook pada Sabtu.
Norafiza meninggalkan komen itu di hantaran status pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi yang menyifatkan remaja itu sepatutnya diserahkan sahaja kepada pihak berkuasa agar beliau boleh diadili sebaik-baiknya.
HANTARAN status Tengku Asmadi mengenai tindakan terhadap remaja yang mencuri tabung masjid. — Facebook
Tengku Asmadi pada masa sama merasakan, perbuatan menularkan video itu membuka aib diri dan keluarganya yang mungkin akan mengakibatkan dia menjadi lebih agresif, berdendam dan trauma.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook lain menggunakan nama Widad Ma berkata, perihal menularkan video itu sememangnya tidak dipersetujui rata-rata pengguna media sosial.
Bahkan katanya, imam tersebut langsung tidak menyuruh sesiapa merakam apatah lagi menyebarkan video berkenaan.
TANGKAP layar komen Widad Ma yang membela tindakan pihak masjid menghukum remaja berkenaan. — Facebook
"Imam itu memandikan remaja tersebut ketika ditangkap kerana dia dalam keadaan lalok (khayal). Rawatan ketika lalok ialah dimandikan dengan air sejuk.
"Malah imam tersebut melarang keras jemaah dan orang kampung memukul pelaku. Ketika memandikan, wajah juga tidak didedahkan bertujuan jaga aib.
"Selepas dimandikan, imam serahkan kepada datuk yang juga ahli keluarga pelaku.
"Namun, si datuk menyuruh serahkan kepada pihak berkuasa kerana tidak berdaya lagi dengan sikap cucunya," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram