Imam mandi pencuri seperti jenazah letak jawatan


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jan 2022

TANGKAP layar video imam yang memandikan seorang remaja seperti 'jenazah', selepas dia ditangkap mencuri tabung masjid.

IMAM yang didakwa terbabit dalam kejadian seorang remaja yang videonya tular kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid, meletak jawatan setelah diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, peletakan jawatan imam Masjid Al Islahiah di Kuang, dekat Rawang, Selangor itu berkuat kuasa pada Jumaat.

“Saya baru bercakap dengan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), yang memberitahu bahawa tindakan sudah diambil.

“Saya tidak pasti butirannya, tetapi saya diberitahu imam itu telah meletak jawatan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor.

Mohd Zawawi berkata, tiada imam yang sepatutnya mengambil tindakan sendiri atas kejadian tersebut.

“Seorang imam tidak seharusnya menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan, kerana menjadi hak seseorang untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan membiarkan mereka yang mengendalikannya.

“Tugas seorang imam adalah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada individu yang bermasalah dan tidak menjatuhkan hukuman, “ katanya.

Pada Khamis, remaja itu, Daniel Iskandar, 19, dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistrer Selayang, Selangor, selepas mengaku bersalah mencuri wang tabung masjid berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan siak di masjid itu telah pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki telah merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya sama ada dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah, serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Menurut peguam Daniel, tertuduh mencuri wang untuk membeli ubat datuknya yang menghidap diabetes. — FMT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram