TULAR di media sosial, seorang pemuda dimandikan seperti jenazah oleh jemaah masjid ekoran daripada kejadian lelaki itu ditangkap mencuri duit tabung masjid
Menerusi video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dimandikan oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid sambil diawasi oleh beberapa orang penduduk kampung.
Dalam situasi itu, pemuda itu dilumurkan dengan kapur barus oleh seorang penduduk kampung sambil mukanya ditutup dengan kain.
Situasi itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet dengan ada yang berpendapat pemuda itu berhak dibuat sebegitu rupa dan ada juga yang merasakan tindakan jemaah masjid itu sebenarnya salah.
HANTARAN dari pengguna Facebook, Oh Malaysia Ku
Namun berkenaan isu tular itu yang dibuat untuk memberi pengajaran, ada baiknya pihak pengurusan masjid 'belajar' dari video pendakwah terkenal, Datuk Dr Abdul Basit yang juga merupakan pentadbir Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.
Pengguna Facebook, Ahmad Kailani Muhammad yang berkongsi petikan video ceramah Abdul Basit dengan pesanan, apabila seseorang itu berbuat kesalahan, sepatutnya jangan terus menghukum kerana manusia itu sebenarnya boleh berubah jika dididik dengan penuh kelembutan.
Dalam video itu, Abdul Basit juga memaklumkan dirinya pernah pergi ke sebuah masjid dengan situasi yang sama seperti video tular itu apabila segelintir jemaah masjid ingin memukul seorang pemuda kerana kes kecurian tabung masjid.
“Budak curi tabung masjid. Pakcik jaga masjid tangkap. Semua nak pukul budak itu, kecuali pengerusi masjid.
“Pengerusi masjid itu berkata, jangan pukul, bawak budak tu ke sini. Saya nak jumpa. Pengerusi itu bertanya kepada budak itu kenapa mencuri. Pengerusi itu bercerita dengan saya sambil memberi nasihat bagaimana nak suruh orang sayang masjid.
“Budak itu berkata, bapanya tidak memberi duit. Cikgu sekolah esok menyuruh untuk membeli tapi budak itu memang tiada duit. Jadi dia mengambil jalan untuk mencuri tabung masjid," kata Abdul Basit saat menceritakan situasi itu.
Pendakwa itu berkata, pengerusi masjid itu menitiskan air mata selepas mendengar kisah budak itu kerana berasa sedih di saat orang lain seronok makan, masih ada lagi anak kariahnya yang tidak mampu membeli buku sekolah.
“Pengerusi sedih. Dia cerita dengan saya dia sedih. Tak apalah kalau itu keadaan kamu, dalam Islam pun kita tak boleh potong tangan kalau orang mencuri dalam keadaan terdesak. Hari ini saya mengisytiharkan kamu sebagai anak angkat masjid.
“Pengerusi itu memberitahu kalau budak lelaki itu nak duit ke, nak baju sekolah ke, nak makanan ke hanya beritahu sahaja kepadanya. Adik itu sudah menjadi anak angkat masjid, oleh itu kena solat lima waktu, datang semua majlis ilmu, Quran kamu kena hadir. Alhamdulillah, budak itu menjadi penunggu setia masjid dan budak yang baik," kongsi pendakwah itu dalam ceramahnya.
VIDEO ceramah Abdul Basit yang dihantar oleh pengguna Facebook, Ahmad Kailani Muhammad
Abdul Basit berkata, bagaimana kalau jemaah masjid menghalau budak berkenaan dan dipukul, pasti dia akan jadi manusia pendendam kepada masjid serta tidak jadi orang yang cintakan masjid.
Diharapkan dari kisah perkongsian Abdul Basit, ramai akan sedar bahawa untuk menjadikan manusia itu baik, kekerasan bukanlah pengajarannya kerana jika dididik cara yang baik, hati manusia boleh berubah.
ALLAH SWT bersabda yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu Wahai Nabi Muhammad dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik," [Surah An-Nahl ayat 125]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram