TINDAKAN segelintir mangsa banjir yang mengambil barangan dari kedai murah Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Taman Sri Muda, Shah Alam Selangor baru-baru ini nampaknya mendapat simpati dan respons daripada pelbagai pihak.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beliau tidak menyokong perbuatan memecah masuk ke dalam premisnya itu, sebaliknya memahami dalam keadaan darurat mungkin terdapat mangsa banjir yang tidak mempunyai pilihan, selain melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.
“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat sebaliknya," katanya.
Menyokong tindakan Ameer, seorang pengguna Facebook tampil menjelaskan bahawa hanya individu yang melalui situasi banjir memahami keadaan ketika itu.
Mohd Irsyad berkata, suami bertanggungjawab memberi makan kepada isteri dan anaknya ketika mereka sedang lapar, sakit dan memerlukan bantuan.
"Tapi bantuan belum sampai takkan suami nak berpeluh tubuh sehingga menggadaikan nyawa anak isteri. Aku yakin yang ambil tu tak ada niat untuk mencuri melainkan niat untuk kelangsungan hidup.
"Kita pun sedia maklum keadaan masa itu. Apa pun tahniah buat boss Mydin, tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Alhamdulillah," katanya.
TANGKAP layar komen-komen netizen di laman Facebook.
Turut berpendapat sama, AD Dealova berkata, tiada siapa yang menyokong tindakan mengambil barangan tanpa kebenaran.
Namun, katanya, mangsa banjir yang berada di lokasi kejadian seperti tiada pilihan lain ditambah pula dengan keadaan terdesak akibat tidak makan selama dua hingga tiga hari.
"Kita yang tua mungkin boleh tahan sampai bantuan datang tapi anak? Warga emas? Orang-orang yang berpenyakit?
"Apa pun semoga ALLAH murahkan rezeki owner (pemilik) Mydin dan owner kedai yang terlibat," katanya.
TANGKAP layar komen netizen berkaitan barang hilang di Mydin, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Zayyat Aqbal berkata, sekiranya bahan makanan yang diambil bertujuan kelangsungan hidup dan bagi mengisi perut yang lapar, dia mohon pemilik Mydin supaya menghalalkan perkara itu.
"Mudah-mudahan dimurahkan rezeki. Sekiranya barangan elektrik, jam tangan dan seumpamanya yang diambil, itu mengambil kesempatan di atas kesempitan. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram