'Longkai' didakwa curi kereta tersadai akibat banjir di Taman Sri Muda


  • Tular
  • Selasa, 21 Dis 2021

TANGKAP layar hantaran Instagram mangsa banjir yang menceritakan insiden tersebut.

AKIBAT banjir besar yang melanda beberapa kawasan dalam negara sejak Sabtu lalu, banyak kereta yang rosak dan tersadai akibat ditenggelami air.

Tular di media sosial pada Selasa seorang lelaki yang didakwa mencuri kenderaan yang tersadai di tepi jalan akibat banjir menggunakan lori tunda.

Kejadian itu diceritakan oleh pengguna Instagram, @wangi_by_cinta yang berkongsi pengalamannya berhadapan dengan lelaki tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, iaitu salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda Selangor.

Menurut perkongsiannya, lori tersebut adalah milik sebuah syarikat yang beralamat di Klang, Selangor.

"Viralkan lori ni, dia dah angkut kereta aku tapi nasib baik sempat kena tahan dengan anak buah dan kawan-kawan.

"Dia cabut nombor pendaftaran sebab pukul tiga tadi tengok dia dah buang.

"Diorang tengah gigih angkut kereta orang kat luar sana. Siapa yang kereta masih tersadai tu rajin-rajin tengoklah," katanya.

Di ruangan komen, sebilangan besar netizen mengecam tindakan lelaki itu dan mengarahkan supaya pemilik kenderaan itu membuat laporan polis supaya dia diberkas, sekaligus mengelakkan kenderaan lain daripada menjadi mangsa.

Setakat ini, masih belum terdapat kenyataan daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram