Pembuli tidak layak berada di sekolah


PEMBULI adalah isu berat yang dipandang ringan oleh masyarakat. — Gambar hiasan
KEBELAKANGAN ini, kejadian buli di sekolah kembali menjadi tumpuan walaupun sebelum ini media melaporkan kes sama dan pembuli juga telah dijatuhkan hukuman.

Walaupun tindakan buli dianggap sebagai kejam, namun ada pihak yang masih ingin memberi peluang kepada pembuli dengan alasan mereka masih muda dan mentah.

Namun, bagi pemilik akaun Facebook Osman Marcom, dia berpendapat bahawa tempat terbaik terbaik untuk mendidik pembuli (predator) ialah di penjara, sekolah Henry Gurney atau Pusat Pemulihan Akhlak.

"Pembuli menyebabkan ketakutan, kemurungan, trauma dan kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa dan mewujudkan suasana tidak seronok, tidak tenteram dan tidak selamat kepada murid di sekolah dan asrama.

"Apabila perbuatan buli telah diiktiraf sebagai perlakuan jenayah, maka pelakunya boleh diadili menerusi proses perundangan," katanya menerusi satu status di akaun Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Osman Marcom juga mengatakan bahawa kes buli tidak wajar diselesaikan di peringkat sekolah, jabatan pelajaran daerah dan negeri sahaja.

Jelasnya, kalau pembuli masih mengulangi perbuatan itu, buat laporan polis dan rekodnya akan kekal dalam simpanan pihak berkuasa iaitu polis.

Ujarnya, masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan membuli lazimnya tidak terhenti setelah ia bermula.

"Pelakunya akan mengulanginya sehingga mendorong mereka melakukan perbuatan jenayah seperti mengugut, mencederakan malah membunuh mangsa.

"Malangnya, dalam masyarakat kita, wujud mentaliti yang menganggap gejala buli dalam kalangan murid serta pelajar sekolah hanya bersifat ‘main-main’ sahaja dan ia akan terhenti setelah tamat zaman persekolahan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram