Status MySejahtera tangguh perbicaraan Najib, Rosmah


  • Primer
  • Isnin, 13 Dis 2021

NAJIB Razak dibicarakan atas isu RM2.28 bilion 1MDB, manakala Rosmah Mansor dibicarakan berhubung kes rasuah projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
PERBICARAAN membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada Isnin terpaksa ditangguhkan ekoran status Mysejahtera masing-masing sebagai “orang dalam pengawasan” (PUS) dan mempunyai kontak rapat dengan seorang kes Covid-19.

Najib Razak dibicarakan atas isu RM2.28 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB), manakala Rosmah Mansor dibicarakan berhubung kes rasuah projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Najib yang pada mulanya tidak dibenarkan masuk ke bilik mahkamah kerana statusnya, hadir sebentar di mahkamah pada sebelah pagi.

Jurubahasa mahkamah memaklumkan bahawa jika Najib dan peguamnya adalah PUS Covid-19, mereka tidak boleh teruskan perbicaraan yang dijadualkan pada Isnin dan terpaksa ditunda pada 14 Disember, Selasa.

Manakala, perbicaraan Rosmah terpaksa dikosongkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas timbalan pendakwa raya kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah bahawa status MySejahtera Rosmah masih jingga.

"Saya berada dalam situasi yang sangat sukar kerana saya telah mencadangkan kepada mahkamah untuk mengadakan perbicaaraan hibrid.

"Saya juga mencadangkan agar kita memudahkan Rosmah memberikan keterangan dari rumahnya, dengan kehadiran dua timbalan pendakwa raya, peguam bela dan pegawai mahkamah," kata Sri Ram.

Dalam pada itu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, mengesahkan sehingga Isnin, status Rosmah MySejahtera masih belum bertukar kepada biru.

“Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 23 Disember dan saya memberi jaminan anak guam saya akan dapat hadir.

"Saya lebih suka prosiding dijalankan seperti biasa dengan semua pihak hadir secara fizikal di mahkamah,” kata Jagjit.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini berkata beliau akan mengambil kira cadangan Sri Ram untuk prosiding hibrid bagi memastikan kesinambungan perbicaraan tanpa gangguan lagi.

Mahkamah kemudian menetapkan dua tarikh tambahan iaitu 23, 24 Disember dan enam hari lagi pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Januari serta 4 Febuari tahun depan untuk perbicaraan Rosmah.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Najib, Rosmah, Mahkamah, Mysejahtera