Pegawai SPRM direman bantu siasatan kes rompakan RM700,000 di Jalan Ampang


  • 112
  • Isnin, 13 Dis 2021

SERAMAI 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

DUA individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan melibatkan kerugian RM700,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan Isnin oleh sepasukan anggota daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, pada 10 Disember.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang yang melibatkan kerugian hampir RM1 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, polis, siasatan, rompakan