PENGELUARAN kali terakhir simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 belum tentu dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan rakyat.
Demikian tegas Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.
Menurut beliau, hal itu berikutan sekiranya pengeluaran diluluskan, mereka yang mempunyai caruman kurang RM10,000 kemungkinan tidak boleh mengeluarkan simpanan mereka.
"Kita sedia maklum bahawa hampir 50 peratus (46 peratus) pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 yang mana jika dikeluarkan ia akan menambah masalah mereka untuk jangka panjang.
"Tambahah pula, saya beranggapan jika diluluskan, pengeluaran dijangka melibatkan mereka yang mempunyai simpanan lebih RM10,000 dan ia tidak membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya kepada Majoriti.
Jelas Ahmed Razman lagi, pengeluaran secara sekali gus (one off) juga bukanlah cara yang efektif untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi sebaliknya bantuan perlu menitikberatkan masalah sebenar mereka.
Katanya lagi, punca kesukaran rakyat harus dikenalpasti terlebih dahulu bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan secara mapan.
"Kita tak boleh melihat KWSP sebagai jalan penyelesaian kerana perlu diingat bahawa jika ia dihabiskan sekarang impaknya akan lebih teruk selepas bersara.
"Oleh yang demikian, kerajaan juga perlu prihatin dalam nasib rakyat dan mencari masalah yang dihadapi mereka hingga akar umbi supaya bantuan yang betul dapat disalurkan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram