ISU anjing yang berkeliaran hampir setiap hari pastinya menjadi topik yang hangat diperkatakan netizen dek kerana perbezaan pendapat.
Ada yang beranggapan bahawa anjing harus diberi kebebasan tetapi ada juga yang tidak bersetuju kerana risau jika haiwan itu bertindak agresif hingga boleh merisikokan nyawa.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Nur Safwan berkongsi rasa kerisauannya terhadap kehadiran sekumpulan anjing di kawasan terbuka dan laluan awam di Hutan Melintang, Teluk Intan, Perak.
Risau dengan keadaan tersebut, Mohd Nur Safwan turut mempertikaikan mengapa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil tindakan lanjut kerana kehadiran anjing yang banyak itu boleh merisikokan nyawa.
"Bela ayam sibuk PBT larang. Tapi anjing-anjing ini yang dah seperti ternakan sendirian PBT mungkin tidak nampak.
"Harap maklum. Keadaan begini dah lama sangat berlaku. Habis tong-tong sampah dikerjakan.
"Itu belum kisah budak-budak atau sesiapa sahaja yang kena kejar dan digigit.
"Mohon pihak berkaitan tidak kiralah mana-mana agensi kerajaan untuk mengambil tindakan segera," katanya.
Status yang dimuat naik Mohd Nur Safwan ekoran rasa tidak puas hati terhadap kehadiran anjing yang terlalu banyak. — Facebook
Seorang pengguna Facebook, Ayman Aki turut meluahkan rasa tidak puas hati terutamanya apabila dia terpaksa membasuh tahi anjing di depan rumah.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Goku Majumia turut menganggap isu anjing tidak boleh disentuh kerana bakal mengundang kecaman daripada persatuan berkaitan.
Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial lain yang turut tidak berpuas hati. — Facebook
"Tak boleh usik sebab ini semua belaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kejar orang sampai jatuh NGO diam, gigit orang, NGO diam.
"Tapi bila anjing kena lastik, kena racun, kena tembak. NGO muncul marah siap nak saman bagai," katanya.
Pengguna media sosial, Norazmee Azmee turut memberitahu bahawa perkara sama juga berlaku di Selangor tetapi dibuat seperti tidak nampak.
Jelasnya, walaupun aduan sudah dibuat, perkara itu seperti tidak dilayan.
"Tunggu ada orang mati kena gigit lepas itu tular baru nak ambil tindakan agaknya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram