BINTANG Manchester City, Raheem Sterling memaklumkan bahawa dia lebih memilih untuk menyertai Liverpool, namun dilaporkan pasukannya hanya akan berunding dengan Barcelona.
Berdasarkan laporan media, pemain sayap itu lebih suka kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bekerja di bawah pengurus Liverpool,Jurgen Klopp.
Bagaimanapun, kelab Manchester itu dilaporkan 'tidak mahu' berunding dengan pesaing dan hanya akan melayan tawaran dari luar negara.
Difahamkan, Barcelona dikaitkan dengan perpindahan untuk pemain antarabangsa England itu dan hubungan baiknya dengan Manchester City berkemungkinan akan membentuk satu perjanjian.
Pinjaman dengan pilihan untuk membeli sedang dipertimbangkan kerana gergasi The Catalan itu menyasarkan perpindahan untuk pemain itu pada jendela perpindahan Januari akan datang.
Masa permainannya di Manchester City juga amat terhad musim ini kerana Sterling dilihat hanya dua kali bermain untuk 90 minit dalam liga setakat ini.
Sterling sebelum ini telah membuka kemungkinan untuk kembali ke Merseyside.
"Adakah saya akan kembali ke Liverpool? Sejujurnya saya suka Liverpool," katanya tahun lalu.
"Jangan diputar belitkan, mereka sentiasa di hati saya. Ia adalah pasukan yang telah banyak berjasa untuk saya membesar sebagai pemain bola sepak," katanya.
Bagaimanapun, Sterling juga dikatakan mengakui dia sebenarnya ingin bermain di luar negara tatkala dikaitkan dengan perpindahan dari Etihad.
"Jika ada peluang untuk pergi ke tempat lain maka saya akan terbuka untuk menerimanya pada masa ini. Bola sepak adalah perkara paling penting bagi saya.
“Cabaran dan impian yang saya tetapkan sejak kecil adalah untuk bermain di luar negara," ujarnya.
Tambahnya lagi, sebagai pemain Inggeris dia lebih dekat dengan EPL.
Dia juga pernah memasang impian suatu hari nanti untuk bermain di luar negara dan mungkin menghadapi cabaran itu.
Katanya lagi, dia sepatutnya belajar bahasa yang berbeza dan Sterling memberitahu dia sangat suka bahasa dan loghat Perancis, selain bahasa Sepanyol. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram