BARU-BARU ini tular tentang suasana taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terbengkalai menerusi perkongsian seorang pengguna laman Facebook.
MAPS yang terletak di Ipoh, Perak menamatkan operasinya pada 28 Januari 2020 setelah hampir tiga tahun beroperasi sejak 1 Jun 2016.
Menurut laporan The Star pada 3 Julai 2020, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan Perak sedang mencari pelabur swasta untuk mengambil MAPS.
Majoriti cuba untuk mendapatkan perkembangan terkini MAPS daripada Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perak itu, namun beliau memberitahu bahawa sebarang pertanyaan tentang MAPS perlu diajukan kepada Menteri Besar Perak iaitu Datuk Saarani Mohamad.
"Isu MAPS perlukan jawapan daripada Menteri Besar," katanya ringkas kepada Majoriti.
Bagaimanapun Saarani yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu pula berkata, isu berkaitan MAPS dikendalikan oleh pihak Perak Corporation Berhad.
"Saya ada mesyuarat di Kuala Lumpur. Isu MAPS seeloknya tanya Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corporation Berhad (PCB)," ujarnya kepada Majoriti apabila diminta mengulas isu berkenaan.
Majoriti kemudiannya mendapatkan penjelasan daripada wakil Perak Corp, namun tiada sebarang maklum balas yang diberikan oleh pihak terbabit.
Untuk rekod, taman tema yang dibangunkan dengan kos RM502 juta itu pada awalnya dikatakan bakal dihiasi dengan watak animasi Dreamworks seperti Smurfs, Mr Peabody and Sherman dan Casper the Friendly Ghost.
Namun begitu, bahagian yang menempatkan bintang-bintang Dreamworks Studios ini tidak disiapkan pada masa yang dirancang dan ditangguhkan beberapa kali sehingga perjanjian dengan pihak terbabit tamat pada Ogos 2018.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram