'Didi & Friends, terima kasih menghiburkan anak-anak kami'


SINAN menceritakan pengalaman yang dilaluinya sepanjang 13 tahun mencipta nama untuk Didi & Friends.— The Star

KARTUN animasi kanak-kanak Didi & Friends bukanlah satu nama asing bagi rakyat Malaysia, malah ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira usia.

Menerusi satu perkongsian oleh seorang pengguna Facebook, Sinan Ismail memberitahu, dia mengundur diri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian setelah 13 tahun menguruskan syarikat animasi kartun kanak-kanak tersebut.

Menerusi hantaran itu, Sinan menceritakan cabaran sepanjang perjalanannya mencipta satu kartun animasi kanak-kanak Didi & Friends yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia

"Saya masih ingat, 13 tahun dahulu masa mula-mula daftarkan syarikat Digital Durian. Memang kami ada impian untuk buat animasi, tapi perjalanan 13 tahun ini tidak semudah seperti disangka kerana segala cabaran dan dugaan ditempuh satu persatu.

IMG_3158

TANGKAP layar sebahagian daripada perkongsian Sinan di Facebook.—Facebook.

"Kami menyertai pertandingan IPCC sebanyak tiga kali dan dua cubaan awal gagal. Tak sangka dan bersyukur yang amat apabila kami berjaya menang IPCC selepas tiga kali cubaan setelah tempuhi pelbagai kegagalan.

"Saluran YouTube Didi & Friends dibuka pada 14 May 2014 dengan harapan meraih 1 juta tontonan dalam tahun tersebut. Alhamdulillah dengan izinNYA, kami mencapai 5.5 juta tontonan pada tahun pertama.

"Dari situ kami menandatangani dengan Astro sebagai co-producer sekaligus Didi & Friends disiarkan di Astro Ceria setiap hari bermula dari 18 December 2015 sehingga hari ini," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Bagaimanapun ini bukanlah satu pengakhiran buat Didi & Friends kerana kartun animasi kanak-kanak itu akan ditukar hak milik syarikat baharu milik Hairulfaizalizwan Ahmad yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi Digital Durian.

Sinan mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang memberikan sokongan kepadanya bagi merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah kartun animasi kanak-kanak.

Rata-rata warganet di Facebook terkejut dan sedih apabila membaca berita itu dan berkongsi kenangan yang mereka ada bersama Didi & Friends.

IMG_3153

TANGKAP layar komen warganet di posting Sinan.—Facebook

"Anak-anak saya membesar bersama Didi & Friends. Nak menulis ni pun sebak, terima kasih kerana menghibur dan menceriakan anak-anak kami.

"All the best Sinan Ismail dan kumpulan Digital Durian," kata seorang pengguna Facebook, Mohd Fauzi Mohamed Din.

"Terima kasih abang Sinan Ismail! Anda juga telah merubah ayah-ayah di seluruh Malaysia, kami juga peminat Didi & Friends!," ujar seorang warganet di Facebook, Taqiuddin Tabarani.

"All the best to Mr. Sinan Ismail...dari peminat setia Didi & Friends sejak dalam pantang hingga sekarang, dah nak masuk tujuh tahun," kata seorang lagi pengguna Facebook, Azza Abdul Rahim.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram