![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/12/21/2451943.jpg)
SEGELINTIR individu yang sudah bernikah tidak memiliki ilmu perceraian sehingga masih ada yang bersikap seperti suami isteri walaupun sudah melafazkan talak.
Talak merupakan salah kaedah pemisahan hubungan pernikahan antara suami dan isteri yang disyariatkan oleh Islam.
Apabila seorang wanita itu diceraikan, maka dia hendaklah beriddah selama tiga kali suci daripada haid, atau bagi mereka yang tidak mempunyai haid, selama tiga bulan Qamariyyah.
Dalam tempoh iddah, lelaki wajib memberi nafkah tempat tinggal kepada bekas isteri.
Semasa tempoh iddah, terdapat hak dan tanggungjawab yang perlu diperhatikan oleh bekas pasangan.
Antara perkara-perkara tersebut ialah kewajiban suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal dalam tempoh iddah.
Wajib ke atas bekas suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal kepada bekas isteri semasa tempoh iddah, sama ada bekas isteri berkenaan ditalakkan secara raj’i atau ba’in, sama ada dia hamil atau tidak.
Ini berdasarkan firman Allah Taala:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ ﴿٦﴾
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka dibolehkan wanita lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq : 6)
Berkata Imam Ibn Jarir al-Tabari Rahimahullah berkenaan ayat ini: “Berikanlah kediaman kepada isteri-isteri kamu yang telah ditalak daripada tempat yang kamu diami lagi kamu sediakan berdasarkan kemampuan kamu; Ini adalah arahan-Nya kepada golongan lelaki untuk memberikan tempat tinggal yang dia sediakan berdasarkan kemampuannya, sehingga selesai iddah isteri-isteri itu.”
Rujuk Jami` al-Bayan (23/456)
Begitu juga firman Allah Taala dalam ayat pertama:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّـهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا ﴿١﴾
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).
(Surah al-Talaq : 1)
Berkata Ibn Jarir akan tafsirnya: “Takutlah kalian kepada ALLAH, wahai manusia, Tuhan kamu, maka waspadalah kalian daripada melakukan maksiat kepada-Nya dengan melanggar batasan-Nya. Jangan kalian mengeluarkan isteri-isteri yang telah kamu talakkan kerana mereka ada iddah di rumah-rumah mereka yang telah kamu beri mereka tinggal di dalamnya sebelum talak itu lagi, sehingga selesailah iddah mereka.”
Rujuk Jami` al-Bayan (23/413)
Dalam mazhab Syafie, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam rumah iddah berkenaan, sama ada talak raj`ie atau talak ba’in. Haram bagi suami untuk masuk ke rumah iddah kerana membawa kepada khalwat dan mengganggunya. Ini bertepatan dengan ayat sebelum yang menyebut:
وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: ...dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka...
Dalam tempoh ‘iddah ini, si isteri boleh tinggal bersama suaminya jika di rumah tersebut mempunyai penghuni mahram yang tinggal bersamanya. Begitu juga jika kediaman itu berbilik-bilik atau bertingkat-tingkat di mana masing-masing tinggal di dalamnya.
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/268)
Pandangan dan kesimpulan menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie, lelaki hendaklah keluar daripada kediaman yang diduduki bersama bekas isterinya untuk membiarkan bekas isterinya beriddah dan tidak boleh tinggal bersama kerana itu adalah bentuk mudarat ke atas dirinya.
Pengecualian diberikan sekiranya terdapat mahram yang boleh menghalang daripada berlaku khalwat atau masing-masing tinggal di bilik atau tingkat berasingan, maka hukumnya makruh.
Hendaklah dijaga adab berbeza pandangan dengan tidak menimbulkan keresahan pada peringkat orang awam. Kaedah fiqh menyebut:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: Keputusan hakim itu meleraikan khilaf.
Wallahua'lam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan