[VIDEO] 'Tidak dibenarkan syarak', pendakwah tegur Nora Ariffin guna AI gerakkan wajah bekas suami sudah meninggal dunia sewaktu konsert


  • Mukmin
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Nora Ariffin ditegur kerana perbuatan menghidupkan gambar tanpa tujuan baik dianggap tidak bertepatan dengan hukum syarak.

PELAKON Nora Ariffin ditegur oleh pendakwah bebas selepas mempamerkan video wajah bekas suaminya bergerak dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sewaktu mendendangkan lagunya dalam konsert Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey pada Rabu.

Pemilik nama sebenar Syed Mohd Bakri Syed Ishak menegur kerana perbuatan menghidupkan gambar tanpa tujuan baik dianggap tidak bertepatan dengan hukum syarak.

"Perbuatan menggerak-gerakkan gambar (menggunakan Al) tanpa tujuan yang baik maka tidak dibenarkan.

"Kepada kak Nora, harap tidak melakukan perkara seperti itu sebab tidak dibenarkan oleh syarak.

"Menghidupkan gambar dengan tujuan berduet untuk menyanyi. Bahkan perbuatan tersebut boleh mendatangkan keaiban kepada beliau dan arwah,” katanya menerusi video dalam Instagram.

BACA LAGI: [VIDEO] Kim Seri: Skandal penipuan pelancongan ke Korea babit kerugian lebih setengah juta ringgit, dedah Bukit Aman

BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan

Katanya lagi, tindakan yang dibuat itu juga boleh mengundang perasaan kecil hati bagi suaminya yang sekarang.

"Puan Nora juga sudah menjadi isteri kepada orang lain.

"Kena jaga hati suami yang ada supaya tidak menyakiti hatinya. Wallahualam," katanya.

Mengulas lebih lanjut, PU Syed juga memberi perincian lebih mendalam yang dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan AI yang dibenarkan.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, penghasilan imej digital individu yang telah meninggal dunia menggunakan aplikasi Generative AI adalah dibenarkan, namun perlu mematuhi beberapa syarat tertentu seperti:

1. Gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan.

2. Tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.

3. Tidak mengaibkan gambar si mati.

4. Tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.

5. Tujuan gambar tersebut dibuat hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.

6. Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram