SIAPA sahaja yang tidak mengimpikan untuk meninggal dunia dalam keadaan syahid.
Manakan tidak, orang yang mati syahid mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi ALLAH SWT.
Buktinya, disebut dalam firman ALLAH SWT:
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصِّدِّيقُونَ ۖ وَٱلشُّهَدَآءُ عِندَ رَبِّهِمْ لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ
Maksudnya: “Orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang "Siddiqin" dan orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya. Dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.” (Surah al-Hadid (19))
BACA LAGI: Kain di ampaian kena sihir waktu Maghrib? Ustazah Asmak kongsi cara elok sidai baju di malam hari
Meninggal dunia dalam keadaan syahid merupakan impian seluruh umat Islam.
Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya berkenaan orang-orang yang mati syahid di jalan ALLAH SWT akan memperoleh pahala yang besar di sisi-Nya dan cahaya yang terang benderang di hadapan mereka.
Daripada Abu Hurairah RA. Dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid ada lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, meninggal kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” [Hadis Riwayat al-Bukhari (652)]
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan ALLAH SWT (kepada mereka) kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)
Bagaimanapun, menerusi satu hantaran di laman X, seorang pengguna, bilasekar melontarkan satu soalan mengenai mati syahid.
"Adakah jika seseorang yang tidak solat meninggal dalam keadaaan syahid seperti yang disenaraikan di atas juga masuk syurga?," tulisnya.
Wanita yang meninggal sewaktu melahirkan anak termasuk dalam golongan syahid.
Bercakap soal itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, meninggal dalam keadaan syahid adalah sesuatu bonus yang berupa rahmat atas anugerah ALLAH kepada hambanya.
"Kita mati sebab bersalin, tenggelam atau kebakaran hanyalah satu bonus yang ALLAH mahu beri sebagai husnul khatimah.
"Bukan semua orang mampu hadapi keperitan yang ditanggung. Contohnya macam perempuan bersalin. Mahu melahirkan zuriat sehingga membawa kepada kematian. Kesusahan-kesusahan yang dihadapi sehingga menyebabkan kepada kematian," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, Dr Hapiz berkata, nasib seseorang ketika di akhirat tetap ditentukan mengikut amalan yang dilakukan di dunia.
"Katakanlah kalau meninggal dalam kebakaran (syahid) tetapi tidak solat, tidak puasa, tidak bayar zakat jadi semuanya sia-sia sahaja.
"Apa yang dibuat sewaktu hidup Tuhan akan tanya. Samada dia solat, zakat, puasa atau tidak," katanya.
Umat Islam perlulah memperbanyakkan amalan kepada ALLAH SWT.
Dr Hapiz turut berkata, manusia meninggal dunia sesuai mengikut kebiasaannya sewaktu hidup.
"Kalau dia rajin mengaji, rajin solat di masjid pengakhiran kebiasaannya begitu. Sebaliknya, orang yang sering melakukan hal-hal melalaikan juga begitu.
"Kecuali dalam keadaan tertentu. ALLAH mahu menunjukkan bahawa seseorang boleh berubah dan bertaubat kepada ALLAH," katanya.
Perkara itu disebut oleh Imam Ibnu Katsir dan Imam as-Sa’adi serta ulama lainnya rahimahumullaah:
أَنَّهُ مَنْ عَاشَ عَلَى شَيْءٍ مَاتَ عَلَيْهِ
“Sungguh siapa saja yang hidup di atas suatu kebiasaan tertentu, dia pun akan diwafatkan di atas kebiasaan tersebut.” (Ibnu Katsir, Tafsiir al-Qur’aan al-‘Azhiim, 2/101; as-Sa’adi, Taysiir al-Kariim ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam al-Manaan, 1/130).
Dr Hapiz turut menjelaskan tentang golongan syahid yang paling tinggi di sisi ALLAH.
"Golongan syahid di dunia dan akhirat yang paling tinggi di sisi ALLAH adalah mereka yang gugur dalam medan perang.
"Yang terbunuh dalam peperangan inilah yang disebut dalam Al-Quran. Mereka ini tidak mati tetapi hidup secara istimewa disisi ALLAH," katanya.
Orang yang gugur di medan perang bagi menegakkan agama Islam merupakan syahid paling mulia di sisi agama.
Memetik sebuah ayat yang disebut dalam al-Quran:
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ١٦٩
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan ALLAH itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Surah al Imran; 169)
Dr Hapiz turut berkata, golongan syahid yang meninggal di medan perang jenazahnya tidak perlu dimandikan dan disolatkan.
Disebut dalam hadis daripada Saidina Jabir RA, di mana Nabi SAW bersabda:
كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ يَقُولُ ” أَيُّهُمَا أَكْثَرُ أَخْذًا لِلْقُرْآنِ ” . فَإِذَا أُشِيرَ إِلَى أَحَدِهِمَا قَدَّمَهُ فِي اللَّحْدِ . قَالَ ” أَنَا شَهِيدٌ عَلَى هَؤُلاَءِ ” وَأَمَرَ بِدَفْنِهِمْ فِي دِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا
Maksudnya: “Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Quran? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda “saya saksi ke atas mereka.” Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 1347) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram