PELAKON Zara Zya mendedahkan bahawa dia kini sedang mengalami penyakit misteri selain berjuang dengan penyakit yang memerlukan rawatan hospital.
Dalam satu hantaran di Threads, pelakon jelita itu berharap agar tiada individu yang cuba membulinya atau membicarakan perkara yang tidak baik tentang dirinya.
"Tolong jangan buli saya dan suka cakap saya bukan-bukan," katanya.
Zara Zya kini sedang menempuh pelbagai ujian kehidupan.
Ini kerana, Zara kini sedang menanggung pelbagai penderitaan yang baginya tidak mudah untuk difahami oleh orang luar.
"Seperti apa pun saya cerita tiada siapa pun faham. Ketawa tanpa perasaan itu biasa.
"Saya sedang berjuang dengan penyakit 'misteri'.. Saya juga sedang berjuang juga dengan penyakit yang memerlukan rawatan hospital," katanya.
Tidak hanya itu, segala perkara yang terjadi dalam hidupnya dirasakan seakan-akan tidak berjalan dengan lancar.
"Saya buat perniagaan semua tak menjadi. Saya juga nak berkahwin tetapi masih belum sampai waktu," katanya.
Malah, Zara juga berasa tidak ramai suka mendekatinya gara-gara sifatnya yang jujur.
"Saya ini jujur, tak plastik. Orang tak suka berkawan dengan saya sebab diri ini membosankan. Jangan tanya mana kawan-kawan saya.
"Saya tak ada kawan dan kalau dulu ada yang rapat, sekarang tidak lagi. Semua pun sudah ada haluan sendiri. Makin menyepi," katanya.
Sekian lama menyimpan hal keluarga, pelakon berumur 38 tahun itu juga mendedahkan bahawa hubungan dengan bapa kandungnya bukan sahaja dingin bahkan lelaki terbabit sanggup melemparkan hinaan sehingga dia terpaksa menyekatnya dalam media sosial.
"Saya ada ayah tapi 'tak ada’. Ayah saya? Sudah berapa banyak akaun palsu dia yang saya sekat. Hina, mengata saya di media sosial. Itu atas talian, secara offline?
“Semestinya lebih rancak. Pernah wartawan cari saya dan cakap ada seorang lelaki hubunginya, cerita tentang saya, dia kenalkan diri sebagai ayah saya,” katanya.
Menurut pelakon drama Kasih Marisa itu, semua bukti juga sudah dikumpulkan agar boleh ditunjukkan jika perlu.
“Bukti? Banyak saya simpan. Jadi jangan tanya mana ayah saya, siapa ayah saya. Yang tahu sahaja tahu,” katanya.
Untuk rekod, pada 13 Julai lepas, Zara Zya sekali lagi terpaksa dimasukkan ke pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman.
Menurut Zara, jangkitan berkenaan berlaku di bahagian kesan pembedahan membuang cyst dan fabriod yang pernah dilakukan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram