KEGIATAN mempersendakan kematian semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini termasuk melakukan aktiviti tidak bermoral di tanah perkuburan.
Sebelum ini, dua orang wanita sewenang-wenangnya membuat jenaka dengan cara melangkah satu kawasan yang dibuat seakan-akan berbentuk kubur seseorang.
Meskipun ia bukan pusara sebenar, perbuatan yang dibuat sebagai gurauan untuk tujuan konten di media sosial itu menjadi perhatian serius masyarakat.
BACA LAGI: Kalau duduk serumah pun, tak salah dapat sedikit seorang agihan korban — Mufti
BACA LAGI: Tak mampu upah mengaji di kubur, sedekah doa ini moga-moga amalan anak soleh sampai kepada si mati
Tangkap layar wanita sedang melangkah kubur yang difahamkan dibuat sebagai konten dalam filem pendek yang bakal ditayangkan di YouTube.
Terbaharu, ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula meluahkan rasa kecewa selepas menemui bungkusan kecil diikat benang seakan-akan buhul sihir di atas kubur Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad pada Isnin lepas.
Masih menjadi persoalan tentang tujuan sebenar pelaku berbuat sedemikian memandangkan suspek belum dapat dikesan.
Bercakap soal itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menganggap bahawa kubur seharusnya menjadi satu perkara yang mengingatkan kita kepada kematian.
"Satu peringatan kepada kita bahawa kita juga akan ke sana (akhirat)," katanya kepada Majoriti.
Bungkusan kecil yang diikat benang seakan-akan buhul sihir ditemui di atas kubur Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.
Dia yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ulama Malaysia juga menegaskan bahawa kubur merupakan satu tempat yang perlu dihormati.
"Ini kerana di situ (kubur) adalah tempat bersemadinya orang-orang soleh, orang-orang yang baik," katanya.
Jadi katanya, tidak sepatutnya kubur menjadi tempat berlakunya amalan yang bercanggah dengan syariat Islam.
"Tidak sepatutnya kita jadikan kubur itu sebagai tempat nak buat jahat, sihir, pemujaan atau perkara-perkara bidaah," katanya.
Seharusnya, Dr Mohd Hapiz berkata, masyarakat Islam perlulah menanamkan keinsafan dalam diri sewaktu melalui suatu kawasan tanah perkuburan bagi mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
Tambahnya, kita juga digalakkan untuk mendoakan si mati agar berada dalam lindungan ALLAH dari segala hal yang buruk.
"Para ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa digalakkan kita membaca al-Quran dan niatkan pahalanya kepada si mati," katanya.
Daripada Buraidah R.A, Rasulullah S.A.W pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ
Maksudnya: “Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Muslim. Sesungguhnya kami, Insya-ALLAH, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada ALLAH kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian.” [Sahih Muslim (975)] — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram