[VIDEO] 'Macam ajaran Ayah Pin', khurafat amalan guna basuhan kaki jemaah haji


  • Mukmin
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Tangkap layar tindakan individu menggunakan air kaki jemaah baru pulang menunaikan haji digunakan untuk dibasuh ke muka.

PERBUATAN mengambil air basuhan kaki jemaah haji untuk dibasuh ke muka tergolong dalam amalan khurafat, kata seorang agamawan, Prof Madya Dr Ahmad Yunus Mohd Nor.

Pensyarah dan Pakar Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata sedemikian bagi mengulas mengenai rakaman tular memaparkan segelintir penduduk di Banjarmasin, Indonesia yang sanggup bertindak sebegitu rupa.

Dalam satu rakaman video yang beredar di media sosial, beberapa penduduk kampung membasuh muka dan menghirup air basuhan kaki jemaah yang baru pulang mengerjakan haji.

BACA LAGI: Inilah sebab jenazah jemaah haji meninggal dunia di Makkah tidak dibawa pulang ke negara asal

BACA LAGI: Pengamal 'childfree' bukan saja rugi di dunia malah akhirat — Pakar Agama

Turut dilihat, dua individu yang memiliki gelaran hajah dan haji duduk di atas kerusi sambil kaki mereka direndam pada bekas air yang akan digunakan penduduk kampung.

Dikatakan, penduduk berkenaan melakukan amalan 'aneh' itu untuk memperoleh keberkatan.

Bercakap soal itu, Ahmad Yunus berkata, amalan sebegitu perlulah dielakkan kerana membawa kepada syirik.

"Amalan ini sama sekali tidak diajar dalam Islam. Amalan khurafat ini dahulu dilakukan oleh pengikut-pengikut ajaran Ayah Pin.

"Mereka juga melakukan sedemikian iaitu meminum air kaki Ayah Pin. Mereka juga mengusap ke muka kerana anggap air kaki itu suci dan anggap dia (Ayah Pin) wakil daripada kerajaan langit," katanya kepada Majoriti.

haji 2

Kembali kepada fitrah agama

Beliau berkata, umat Islam seharusnya memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH untuk memperoleh keberkatan.

"Doa adalah senjata bagi orang yang beriman. Jadi kita berdoalah jika mahu ALLAH mengizinkan kita pula yang dapat menunaikan haji selepas itu.

"Amalan-amalan pemujaan, minum air kaki atau membasuh muka menggunakan air dari kaki adalah amalan yang tidak diajar Nabi Muhammad SAW," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berpesan agar individu yang tersesat segera kembali kepada ajaran sebenar Islam.

"Kembali kepada fitrah ajaran agama kita kerana kita mempunyai ajaran agama yang sempurna.

"Jangan kita sama sekali melanggar sesuatu perkara yang disebut dalam agama kita.

"Jangan juga kita melakukan perkara-perkara yang khurafat yang mana ianya boleh menjejaskan kita punya akidah," katanya.

Ahmad Yunus turut menegaskan bahawa individu yang melakukan amalan syirik tidak mencium bau syurga.

"Sesungguhnya syirik itu satu dosa besar. Orang yang mensyirikkan ALLAH tidak akan dapat masuk syurga. Nak bau syurga pun tidak dapat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram