AMAR Maruf Nahi Mungkar satu slogan yang sering mahasiswa seperti saya ucapkan dalam aktiviti sosial mahupun tulisan.
Benarkah ia dapat dipraktikkan dalam realiti atau mendapat tentangan dari masyarakat Islam sendiri?
“Sebelum tegur, cermin diri dulu.”
“Apa yang kau tahu...kau tak merasa apa yang aku lalui.”
“Nak tegur jangan extreme.. kena ada empati...”
“Kita akan diuji dengan benda yang kita tegur.”
“The sins you mock today will be the sins you do tomorrow." (Hari ni kau mengata aku esok kena balik pada kau).
BACA LAGI: Apabila pendidikan ‘diniagakan’, status pelajar bertukar jadi pelanggan dibebani hutang
Kata-kata di atas sering kedengaran dalam diari seorang mahasiswa yang menyayangi sahabatnya yang ditegur.
Si penegur yang menegur pula, ditegur kerana didakwa tiada adab, empati atau caranya tidak selari dengan kehendak atau citarasa yang ditegur. Sejauh mana kebenaran ini?
Amar Maruf Nahi Mungkar adalah tanggungjawab sosial umat Islam yang tidak dihadkan pada ilmuwan atau agamawan sahaja, tetapi semua yang mengaku beragama Islam.
Ada dua bahagian dalam frasa Amar Maruf Nahi Mungkar. Bahagian pertama amar maruf. Amr ialah fiil yang bermaksud ‘menyuruh’ dan ‘memerintah.’ Maruf merangkumi semua suruhan dalam al-Quran. Apabila digabung, ia bermaksud ‘menyuruh kepada kebaikan.’
Kebaikan di sini ertinya kebaikan menurut standard wahyu, bukan standard manusia.
Bahagian kedua nahi mungkar. Nahi ialah fiil yang bermaksud ‘melarang.’ Mungkar adalah segala perintah yang dilarang ALLAH di dalam al-Quran.
Apabila digabung, ia bermaksud ‘melarang keburukan.’
Dua bahagian ini berjalan dengan serentak, tidak dipisahkan, tidak wujud satu bahagian difokuskan, dan bahagian lain didiamkan.
Namun yang sering terjadi dalam kalangan mahasiswa adalah Amar Maruf tetapi Nahi Mungkar tidak atau kurang berlaku kerana kata-kata yang dilontarkan oleh yang ditegur, maka demi menjaga hati sahabat yang dikasihi, Nahi Mungkar ditelan, hilang dari pandangan dan pendengaran golongan muda.
Mungkar adalah segala perintah yang dilarang ALLAH di dalam al-Quran. — Gambar Hiasan
Maka tidak hairanlah kerosakan dalam umat Islam merebak seperti api liar.
Mari kita lihat balik apakah tujuan Allah menurunkan perintah Amar Maruf Nahi Mungkar?
"Manusia yang dilahirkan cukup sifat diperintahkan untuk melakukan kebaikan dan menjauhi laranganNYA." (Ali-Imran 103).
Antara tujuan utamanya ialah wujud mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap pihak-pihak yang cuba hidup dengan cara yang tidak diredhaiNYA, dan membentuk umat yang membawa kesejahteraan hakiki melalui meluruskan keburukan, kebaikan dikekalkan.
Terdapat banyak perbezaan antara orang-orang yang menerima teguran secara positif dan yang sebaliknya.
Sebagai contoh, T. Boone Pickens, pengerusi BP Capital Management pernah berkata bahawa “tiada guna untuk menyalahkan orang lain akan kegagalan kamu sendiri”.
Begitu juga dengan teguran kerana teguran itu bertujuan untuk membentuk sesuatu yang kurang atau meluruskan yang bengkok pada diri kita. Ego yang tertanam di dalam diri harus dipadamkan untuk terus maju kerana perubahan boleh mencetuskan seribu kemungkinan dan orang-orang berjaya berpegang dengan prinsip ini.
Kematangan dapat dilihat daripada bagaimana seseorang menerima teguran.
Seorang yang matang dapat melahirkan respons yang lebih positif dalam kehidupan.
Kematangan dapat dilihat daripada bagaimana seseorang menerima teguran. — Gambar Hiasan/Agensi
Pengalaman penulis menegur orang-orang yang lalai dahulu bukanlah suatu jalan yang mudah.
Kehilangan kawan atau ‘validation’ daripada masyarakat sekeliling merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan untuk membentuk diri menjadi lebih baik.
Teguran sebenarnya dapat membentuk keyakinan diri dan daya tahan kerana kita bersedia menerima hakikat dan menyebarkan kebenaran kepada orang lain.
Keberanian itu sendiri tidak datang bergolek melainkan kepada orang-orang yang mencari dan prihatin terhadap masalah umat. Ramai mahasiswa bergantung kepada usaha orang lain untuk mengubah suatu keadaan.
“Comfort Zone” seperti malas dan tidak menginginkan perubahan hanya akan memakan dan merugikan diri sendiri.
Penulis juga pernah terasa dengan kata-kata yang diberikan oleh orang lain kesan daripada teguran sendiri, tetapi bukan bermaksud teguran itu tidak benar.
Kemahiran berkomunikasi juga penting dalam kita menyampaikan sebuah teguran agar mesej yang ingin disampaikan jelas dan boleh difahami. Kita tidak boleh menegur berpanjangan akan tetapi isi hujah yang disampaikan meleset ke tempat lain.
Tidak boleh menggunakan kata-kata kesat, celupar, atau mencarut Hal ini perlu ditekankan kerana ia boleh membawa kepada situasi yang lebih buruk di samping tidak dapat mengubah keadaan ke arah yang lebih baik.
Oleh itu, jangan kita tidak menegur kerana kekurangan sendiri akan tetapi menegurlah dengan niat untuk mengubah.
Kemahiran berkomunikasi amat penting dalam menegur seseorang. — Gambar Hiasan/Agensi
Selain itu, kita tidak boleh mudah patah semangat dalam melakukan teguran.
Orang-orang yang berhenti di tengah-tengah jalan tidak akan dapat mencapai apa yang diimpikannya.
Jangan menganiaya diri sendiri dengan penipuan kerana penulis percaya jika ditanya mahasiswa zaman kini, mereka semua setuju masyarakat hari ini telah rosak dan semakin mundur.
Tetapi apakah tindakan mereka? Kejahatan atau keburukan itu tidak akan hilang dengan sendirinya tanpa ada individu yang berani menggalas tanggungjawab dan menginginkan kebaikan terhadap semua orang.
Akhir kata, tidak pernah terlambat untuk kita mula menegur dan menegakkan kebenaran dalam masyarakat kerana pada hakikatnya kita semua hanyalah manusia yang sentiasa melakukan kesalahan.
Capailah peluang untuk menegur, hindari ‘kubur aku kubur engkau’ kerana Islam tidak mengajar kita pentingkan diri.
Kita juga tidak tahu jika teguran yang disampaikan, mungkin dapat mengubah atau menyelamatkan kehidupan seseorang dari hanyut dalam kelalaian yang berterusan.
Tanpa Nahi Mungkar tidak akan ada Amal Maaruf kerana musuh sebenar kita adalah syaitan yang sentiasa menghasut manusia menuju kejahatan dan kitalah yang harus mula menarik mereka kepada kebaikan walaupun bermula dari sebuah teguran.
Bak kata pepatah melayu, “belakang parang pun diasah nescaya tajam”. Penulis percaya usaha tersebut akan membuahkan hasil. — Majoriti
Muhammad Najmi Alias merupakan pelajar Kursus UNGS 2290 Knowledge and Civilisation, UIAM Pagoh.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram