SYARIKAT pengendali badal haji yang berlumba-lumba menawarkan dan mengaburi mata masyarakat dengan menonjolkan pakej atau skim yang paling murah dan berbaloi boleh merosakkan industri badal haji jika tiada penguatkuasaan sewajarnya.
Ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (IIUM), Ustaz Furqan Abdullah merasakan badal haji tidak boleh disamakan dengan hukum biasa persaingan pasaran.
"Pelaksanaan ibadah haji mempunyai kos tersendiri dan spesifik. Justeru, sepatutnya syarikat-syarikat ini berlumba untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kompetensi masing-masing, bukan bersaing harga siapa yang paling rendah.
"Oleh sebab itulah ulama menggariskan antara syarat utama haji adalah istita’ah maliyah dan badaniyah iaitu kemampuan dari sudut kewangan dan tubuh badan," katanya.
Beliau berpendapat di sebalik tawaran harga pakej yang tidak masuk akal, terdapat isu lain yang melingkari skim badal haji yang mungkin ada dalam kalangan umat Islam di negara ini terlepas pandang.
Menurutnya, badal haji yang dilaksanakan oleh syarikat pengendali berkaitan perlu dipastikan keabsahannya.
Ini kerana katanya, ulama menggariskan syarat yang ketat untuk pelaksana badal haji antaranya pelaksana perlu sudah mengerjakan haji bagi dirinya sendiri, tidak boleh melaksanakan satu haji atas nama dua individu dan sebagainya.
Furqan berkata, badal haji yang dilaksanakan oleh syarikat pengendali berkaitan perlu dipastikan keabsahannya.
"Sebab itulah, dalam hadis pada asasnya pelaksanaan badal haji paling afdal dilakukan oleh anak, waris dan juga kaum kerabat.
"Ini bagi mengelakkan sebarang penipuan, manipulasi ataupun perkara berisiko yang menjejaskan keabsahan badal haji tersebut. Kesemua syarat ini jika diperhalusi, pasti banyak skim badal haji yang 'kantoi'," katanya dalam kenyataan kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Furqan berkata, rata-rata syarikat pengendali badal haji tidak melalui pengauditan secara menyeluruh terhadap operasi pelaksanaan badal haji dan audit ke atas perkara berkaitan kos pengurusan, upah kepada pelaksana badal haji dan seumpamanya.
"Segala gambar dan lembaran sijil yang dikeluarkan oleh syarikat hanyalah bersifat kosmetik, kerana yang mustahak adalah lembaran audit yang lengkap dan menyeluruh," katanya.
Tambahnya, kesamaran akad antara pemberi upah (pewakil badal haji), syarikat pengendali badal haji yang menjadi perantara dan pelaksana badal haji, juga antara isu yang terpalit dalam badal haji.
"Jika akadnya tak jelas, atau lebih teruk tiada akad, maka sia-sia hasrat untuk melakukan badal haji. Dahla duit terbang, hutang haji pun tertunggak," ujarnya.
Menurut Furqan lagi, pengendalian badal haji rata-ratanya berorientasikan keuntungan semata-mata, bukan atas dasar ihsan dan saling membantu dalam melakukan kebajikan.
Katanya, ia tidak sepenuhnya memenuhi konsep asas dan maqasid pensyariatan badal haji itu sendiri.
"Syeikh Ibn Uthaimin Rahimahullah menyatakan bahawa siapa yang melaksanakan badal haji dengan tujuan keuntungan duniawi semata-mata, maka dia tidak akan mendapat ganjaran pahala di akhirat.
"Memanglah adat berniaga nak untung, tapi berniagalah dengan jujur, jangan buat manipulasi dan menipu. Jika jujur, keuntungan pasti akan menyusul Insya-ALLAH," ujarnya.
Justeru, bagi individu dan syarikat yang secara rutin dan kerap berulang-alik ke tanah suci, mereka dinasihatkan berniaga dan berkhidmat dengan jujur serta amanah.
"Jangan hanya berselindung di sebalik jubah berjenama dan kopiah di kepala, namun sesetengahnya ibarat scammer (bedal haji) atas nama agama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram