KES bungkusan kecil diikat benang seakan-akan buhul sihir yang berada di atas kubur Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad pastinya menimbulkan kerisauan buat masyarakat terutama yang memiliki ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Dalam hal sebegini, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, tidak salah jika waris memutuskan untuk mengupah individu untuk mengaji di tanah perkuburan.
"Andai mahu mengupah orang baca al-Quran (di kubur) dibenarkan dalam Islam. Tak ada masalah," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pusara kena buhul sihir, tak salah upah orang pagar, 'tunggu kubur'
Membaca ayat suci al-Quran di kubur akan sampai pahalanya kepada si mati.
Dr Mohd Hapiz berkata, perkara itu turut disokong beberapa hadis yang membolehkan seseorang membaca ayat suci al-Quran buat si mati, antaranya ialah:
Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Talhah Ibn ‘Abdullah, bahawa beliau RA berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ ابْنِ عَبَّاسٍ عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، وَقَالَ: إِنَّهَا مِنَ السُّنَّةِ
Maksudnya: Aku telah bersembahyang bersama Ibn ‘Abbas ke atas seorang jenazah, lalu beliau RA membacakan surah al-Fatihah. Beliau RA berkata, “Sesungguhnya ini merupakan sunnah Rasulullah SAW.” [Hadis Riwayat al-Bukhari: (1335)]
Meskipun begitu, Dr Mohd Hapiz berkata, lebih afdal sekiranya waris yang membaca bacaan ayat suci al-Quran buat si mati.
Ini kerana, AJK Persatuan Ulama Malaysia itu berkata, apabila seseorang meninggal dunia, terputus segala amalan kecuali tiga perkara yang ganjaran pahalanya akan berkekalan selepas kematian.
"Antaranya sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh," katanya.
Perkara itu disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Maksudnya: Apabila matinya anak Adam, maka amalnya terputus kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.
Seandainya waris tidak mampu untuk mengupah seseorang bagi mengaji di kubur, anak-anak si mati boleh mendoakan ibu bapa yang telah meninggal dunia dengan meniatkan pahala buat mereka.
Anak-anak perlulah sentiasa mendoakan ibu bapa mereka.
Antara doa yang boleh diamalkan oleh seseorang anak dalam mendoakan arwah ibu dan bapanya adalah:
Firman ALLAH SWT
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan" (Surah Ibrahim: 41)
Dalam ayat yang lain, doa boleh disebut:
رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.” (Surah Nuh: 28)
Doa lain yang boleh diucapkan adalah:
رَّبِّ اغْفِرْلِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً
Maksudnya: "Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mendidik aku waktu kecil."
Menceritakan satu kejadian pada zaman Rasulullah, Dr Mohd Hapiz berkata, Nabi Muhammad juga pernah membantu meringankan azab kubur sewaktu melalui dua buah kubur.
Hal ini seperti disebut dalam hadis daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, di mana Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini (di dalam kubur ini) sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan sempurna, manakala seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba.”
Kemudian Baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua. Para sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?” Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagi mana ia belum kering.” [Riwayat al-Bukhari (218)]
Dr Mohd Hapiz berkata, bacaan al-Quran yang diniatkan pahalanya buat si mati juga memiliki syafaat seumpama pelepah kurma itu.
"Bacaan al-Quran juga memberi syafaat yang sama malah lebih lagi syafaatnya berbanding dua pelepah kurma itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram