SYAABAN merupakan bulan mulia yang memiliki banyak keistimewaan yang harus direbut setiap umat Islam.
Peluang ini haruslah digunakan sebaiknya untuk mengejar amal kebajikan sebagai latihan dan persediaan menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba.
Banyak kelebihan yang terkandung di bulan Syaaban, namun ramai di antara kita yang masih terleka dalam merebut kesempatan ini sehinggakan disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Itulah bulan (Syaaban) yang mana ramai manusia melalaikannya, iaitu bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Ketika itu amal manusia diangkat kepada Tuhan semesta alam. Maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa,” [Hadis Riwayat An-Nasaie]
Umat Islam perlulah meningkatkan amal supaya mendapat darjat yang tinggi di sisi ALLAH.
Terdapat banyak amalan yang disyariatkan dalam agama Islam untuk dilakukan pada bulan Syaaban:
1. Malam Nifsu Syaaban
Pada bulan Syaaban, terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan waktu buku catatan amalan setiap manusia selama setahun akan diangkat ke langit dan digantikan dengan buku catatan yang baru.
Lebih istimewa, pada malam ini, ALLAH SWT memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya selain memberi keampunan kepada setiap umat kecuali yang syirik kepada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah RA daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:
"ALLAH SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” [Riwayat Ibn Majah].
Rasulullah SAW mengatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami, Imam 'Asakir, dan Al-Baihaqy seperti berikut:
خَمْسُ لَيَالٍ لَا تُرَدُّ فِيْهِنَّ الدَّعْوَةُ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبَ وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ وَلَيْلَةُ الجُمْعَةِ وَلَيْلَتَيِ العِيْدَيْنِ
Maksudnya: "Ada lima malam ketika doa tidak tertolak pada malam-malam tersebut, yaitu malam pertama bulan Rajab, malam Nisfu Syaaban, malam Jumat, malam Aidilfitri."
Malam Nisfu Syaaban merupakan masa yang tepat untuk peroleh keampunan daripada ALLAH SWT.
2. Solat Sunat Nisfu Syaaban
Solat sunat Nisfu Syaaban yang dilakukan pada malam 15 Syaaban tergolong dalam solat sunat mutlak.
Solat sunat mutlak adalah solat sunat yang dilakukan tanpa terikat waktu, sebab tertentu atau jumlah rakaat.
Ia boleh didirikan selepas mengerjakan Solat Maghrib, Isyak atau bersama solat-solat sunat semasa qiamullail.
3. Beristighfar
Amalan seterusnya yang dianjurkan pada malam Nisfu Syaban adalah dengan memperbanyakkan istighfar.
Ini kerana, setiap manusia tidak lari daripada membuat dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar secara disedari atau tidak disedarinya.
Namun begitu, ALLAH SWT sentiasa membuka pintu keampunan buat setiap umat yang ingin bertaubat.
Oleh itu, memohon ampun dengan beristighfar sangat dianjurkan terutama pada malam Nisfu Syaaban.
Sayyid Muhammad Alawi menjelaskan yang bermaksud:
“Istighfar adalah amalan utama yang wajib dibiasakan oleh umat Islam terutama pada waktu-waktu yang diutamakan seperti Syaaban dan tengah malam."
Bacaan istighfar berikut boleh dibaca bagi memperoleh pengampunan daripada ALLAH SWT.
أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَسْأَلُهُ التَّوْبَةَ
Maksudnya: "Aku memohon ampun kepada Allah dan aku memohon kepada-Nya agar menerima taubatku."
4. Bersedekah
Amalan terbaik yang dianjurkan pada bulan Syaaban ialah bersedekah.
Berdasarkan riwayat oleh Imam Sadiq:
"Bersedekah dan istighfar. Barangsiapa bersedekah di bulan Syaaban, nescaya Allah SWT memelihara sedekah itu sebagaimana salah seorang di antara kamu memelihara anak untanya, sehingga pada hari kiamat, sedekah itu sampai ke tangan pemiliknya sebesar gunung Uhud."
5. Berpuasa pada bulan Syaaban
Berpuasa pada bulan Syaaban merupakan salah satu perbuatan yang diamalkan Rasulullah SAW.
Daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata:
"Dan aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika bulan Syaaban.” [Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim] — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram