ISU mempersendakan agama menerusi parodi dilihat sebagai perbuatan yang memalukan diri sendiri selain menjatuhkan maruah diri dan umat Islam, kata pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Timbalan Dekan Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata demikian bagi mengulas isu mengenai seorang pempengaruh yang memuat naik video parodi yang seakan-akan memerli hal berkaitan sistem perundangan Islam di Malaysia.
"Perbuatan tersebut hukumnya haram kerana mempersendakan agama, dia mempermainkan apa yang berlaku terhadap isu-isu semasa dalam undang-undang Islam," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Kes Nik Elin Zurina: Fahmi tegur Muhyiddin sebar berita palsu
Selambe je dia permainkan Islam.
Arak tu jelas salah di sisi agama dan undang-undang. Boleh didakwa.
Ya walaun kekal bodoe pic.twitter.com/sIFk2yfcPl
— KroniRakyat (@KroniRakyat) February 13, 2024
Ahli akademik itu turut menasihati seluruh umat Islam agar akur dengan segala keputusan yang dibuat oleh sistem perundangan di negara ini.
"Orang ramai kena ingat institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri terletak secara mutlak di bawah Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri.
"Jadi kita seharusnya menyerahkan kepada pakar-pakar seperti peguam syarie dan juga hakim untuk mengkaji kerana mereka dapat menyelesaikan masalah dengan lebih bijaksana," katanya.
Beliau turut memberi pesanan agar masyarakat tidak sewenang-wenangnya memainkan sentimen keagamaan terutama secara terbuka seperti di media sosial.
"Jangan sesekali memainkan emosi umat Islam yang boleh menyebabkan nama Islam itu buruk disebabkan perbuatan kita," tegasnya.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial, Dd Chronicle menjadi tular selepas didakwa mempersendakan keputusan mahkamah yang membatalkan enakmen kanun jenayah syariah.
Menerusi video itu, Dd Chronicle melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tanpa dikenakan hukuman.
Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, bagaimanapun tampil memohon maaf dan bertindak memadam video berkenaan demi menghormati undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram