IBADAH puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardukan ke atas setiap umat Islam.
Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib menggantikan (mengqadakan) puasanya itu mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Namun, sesetengah orang terutama golongan wanita yang mengalami haid ketika bulan Ramadan seringkali memiliki masalah untuk mengqadakan puasanya akibat terlupa jumlah yang perlu digantikan.
Bercakap soal isu berkenaan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, seseorang yang terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan dinasihati untuk berpuasa lebih daripada jumlah sangkaan yang dirasakan paling tepat.
"Misalnya, jika berat sangkaannya yang dia meninggalkan puasa Ramadan sebanyak tujuh hari, maka eloklah dia berpuasa qada sebanyak lapan atau sembilan hari," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda
Bulan puasa merupakan bulan mulia yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam. — Gambar Hiasan
Wan Salim turut menjelaskan cara paling baik untuk menggantikan puasa adalah dengan menyatukan puasa qada bersama puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal.
"Dengan itu pahala puasa sunat enam Syawal pun dapat selain dapat menyelesaikan puasa Ramadan yang tertinggal.
"Menqadakan puasa ini tidak wajib dilakukan secara berturutan tetapi juga boleh diselang-selikan," katanya lagi.
BACA LAGI: GTR Burger tidak bimbang stigma Zamburger
Bulan puasa memiliki ganjaran yang luar biasa. — Gambar Hiasan
Perintah menqada puasa Ramadan yang tertinggal ini ditegaskan dalam al-Quran yang bermaksud:
Sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (dan telah berbuka puasanya) hendaklah digantikan (puasa yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 185).
Jika seseorang itu cuai dan tidak mengqadanya sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, maka dia wajib membayar fidyah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram