Aurat: Menutup atau membalut?


  • Mukmin
  • Ahad, 07 Jan 2024

Orang tua perlulah mendidik anak-anak agar menjaga pemakaian sejak kecil. — Gambar Hiasan

AURAT ialah bahagian yang menjadi aib pada tubuh badan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang bukan mahram.

Aurat yang wajib ditutup bagi lelaki ialah kawasan di antara pusat hingga lutut manakala aurat yang wajib ditutup oleh perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Menutup aurat merupakan satu kewajipan yang diperintahkan Allah dan perlu dilaksanakan bagi setiap individu yang beragama Islam. ALLAH SWT berfirman: "Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan ALLAH, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Al-A'raf: 26).

CnBAGKHUkAAHnWV-640x391-1

ALLAH memerintah agar wanita memakai pakaian yang menutup aurat. — Gambar Hiasan

BACA LAGI: Runtuhnya masjid, ketahui 3 'pembunuh' utama hubungan suami isteri

Sebagai umat Islam yang bertaqwa, kita hendaklah melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, kita hendaklah menutup dan memelihara aurat kerana ia merupakan perintah ALLAH SWT.

Hakikatnya, menutup aurat bukan sahaja mematuhi perintah ALLAH SWT semata-mata, malah akan mengundang pemeliharaan Tuhan Yang Maha Kuasa dan membawa keberkatan dalam kehidupan kita.

Malangnya, ada golongan yang mempersendakan suruhan ALLAH SWT ini dengan memuat naik pelbagai gambar dan rakaman kononnya untuk dijadikan hiburan semata-mata, sekali gus mendapatkan perhatian umum atau keseronokan sendiri.

Seperti yang kita tahu, hijab atau lebih dikenali sebagai tudung merupakan pakaian asas untuk menutup aurat bagi perempuan, malah masyarakat Islam semakin terikut-ikut cara pemakaian yang datang daripada masyarakat Barat sehingga menjadikan pemikiran mereka diracuni bahawa pemakaian dalam Islam adalah lapuk seakan-akan Islam merupakan agama yang mundur dan tidak mengikuti peredaran zaman.

Hal ini akan menyebabkan masyarakat Islam terpengaruh untuk berpakaian mengikut fesyen yang ditonjolkan oleh masyarakat Barat seperti memakai turban sehingga menampakkan telinga dan leher.

Terdapat juga yang memakai selendang tanpa mengenakan pin dan menampakkan bahagian rambut serta jarang.

Pakaian yang ditampilkan bukan lagi dilihat sebagai sesuatu yang menutup aurat semata-mata, tetapi ia juga sebagai satu elemen fesyen yang melambangkan status ‘up to date’ bagi seseorang.

Sebenarnya bukan salah mereka menyebabkan semua ini terjadi, tetapi kadang-kadang mereka terlalu mengejar arus kemodenan. Mereka terlalu takut untuk digelar orang yang ketinggalan zaman, takut nanti ada rakan- rakan menggelar mereka sebagai orang kampung sehinggakan sanggup membalut aurat daripada menutup aurat.

Sememangnya tidak dinafikan lagi bahawa fesyen pakaian wanita Muslimah kini adalah sangat hebat sehingga

wujudnya istilah ‘industri fesyen wanita Muslimah’ dan ‘busana Muslimah’.

Bukan semua gaya fesyen muslimah yang ditonjolkan tidak mematuhi syariah, tetapi kebanyakkan yang menjadi ikutan tidak sesuai untuk disebut sebagai pakaian seorang Muslim.

png-20230609-110944-0000-74fbd9fd06f37efe75b6f13e5ee6e8e2_600x400

Seseorang wanita perlulah menjaga pemakaiannya dengan kelihatan sopan dan manis dilihat. — Gambar Hiasan

Hal ini berlaku kerana pakaian yang dipakai bukanlah pakaian yang menutup aurat tetapi membalut aurat.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila seseorang tersebut sudah hilang akan sifat malunya, maka lakukanlah apa yang dia suka.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menerangkan bahawa wanita yang sanggup mengenepikan maruah dan sifat malunya dengan berpakaian seksi serta ketat demi mengikut peredaran zaman.

Begitu juga dengan lelaki Muslim yang sanggup membuang atau meninggalkan pakaian Islamik mereka kerana mereka percaya bahawa berpakaian menyerupai sesuatu bangsa tersebut lebih ‘up to date’.

Secara asasnya, Islam tidak menolak dan menetang sebarang bentuk urusan atau sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kecantikan.

Bahkan Islam sendiri menitik beratkan setiap perkara agar dilakukan dengan cantik, dalam keadaan yang baik, serta menjaga kebersihan. Kesemua hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis baginda.

Mahupun begitu, apa yang Islam tekankan ialah konsep takwa dalam pemakaiannya.

Justeru, ia merujuk kepada ketakwaan seseorang digambarkan melalui pemakaiannya. Maka sudah tentu pemakaian yang menggambarkan ketakwaan ialah pemakaian yang mengikut syara’ serta menutupi aurat, tidak mengundang kepada fitnah dan mampu menjaga tubuh badan daripada sebarang kebinasaan.

Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang ditentukan oleh syara’. Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan lain-lain dengan memakai pakaian yang longgar dan menutupi seluruh auratnya daripada dilihat oleh golongan bukan mahram.

Malah, terdapat sebahagian dari kalangan wanita Islam yang bertudung tetapi memakai pakaian ketat hingga menampakkan susuk dan bentuk tubuh badan. Walaupun secara dasarnya, mereka memakai pakaian lengkap menutup aurat tetapi aurat tidak ditutup seperti yang agama kehendaki.

Tersangatlah rugi bagi sesiapa yang menganggap bahawa dia telah berpakaian seperti seorang Muslimah sedangkan ia memakai baju kurung yang labuh tetapi kainnya terbelah tengah.

WhatsApp Image 2024-01-06 at 12.11.30 PM (1)

Segelintir perempuan berpakaian tidak senonoh sehingga mengundang kecaman warganet. — Gambar Hiasan

Justeru, ada juga yang memakai tudung atas dada bersama baju kurung yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan mereka ketika menghadiri majlis keramaian.

Namun begitu, pemakaian tersebut merupakan pakaian yang tidak sopan dipandang sebagai seorang wanita Islam dan mencemarkan imej agama.

Hal ini kerana pemakaian itu akan menarik perhatian orang ramai dan mengundang kepada maksiat serta dosa. Agama menyuruh kita menutup aurat bukan membalut aurat. Hal ini demikian kerana Islam adalah agama yang mementingkan pemeliharaan maruah bagi seorang Muslimah.

Tetapi pada zaman sekarang, masyarakat lebih tertarik untuk berpakaian mengikut fesyen terkini dan melawan apa yang ditetapkan oleh syara’.

Begitu juga sebahagian lelaki yang tidak mengendahkan kesempurnaan menutup aurat seperti memakai seluar pendek ketika bersukan akan menarik perhatian wanita ajnabi terhadapnya dan menimbulkan kemaksiatan di khalayak umum.

Rasulullah S.A.W bersabda: "Dan wanita yang berpakaian, tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan mendorong orang lain juga cenderung kepada kemaksiatan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sebarang pakaian yang bersifat ketat dan nipis sehingga menampakkan badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang. Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan menampakkan bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Hukum berpakaian yang menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.

Firman ALLAH SWT: "Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (An-Nur: 30)

photo_2024-01-06_12-53-06

Pakaian yang sesuai untuk perempuan dan lelaki dalam Islam.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang kita untuk berfesyen dan berpakaian cantik, malah Islam juga tidak akan menentang kecantikan selagi mana ia tidak melampaui batas dan mematuhi syarat yang ditetapkan dalam syariat Islam.

Justeru, pemeliharaan dalam menutup aurat sangat dititik beratkan terutama bagi golongan wanita. Hal ini kerana wanita merupakan pencetus kepada berlakunya sesuatu maksiat.

Oleh itu, ALLAH SWT memerintahkan umat Islam menutup aurat untuk memelihara maruah dan kehormatan sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada kejahatan dan dosa.

Tambahan lagi, menutup aurat bukanlah pilihan, malah merupakan keperluan yang wajib dipenuhi oleh wanita yang telah mencapai akil baligh.

Selain itu, bagi mengelakkan timbulnya perasaan riak, takbur, ujub dan tabarruj, kita diingatkan supaya bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam pemakaian bagi menutup aurat. Hal ini juga dapat melindungi wanita daripada menjadi perhatian lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bertepatan dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutupi seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Dengan cara ini, mereka lebih mudah dikenali kerana reputasi mereka yang baik, jadi mereka tidak akan diganggu.” (Al-Ahzab:59). — Majoriti

Helwani Abdul Mutalib merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram