Ancaman Islamofobia: Antara hati-hati dan diskriminasi


  • Massa
  • Khamis, 28 Dis 2023

Islamofobia ini bukanlah satu isu yang baharu, malah telah lama dan semakin merawak dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. — Agensi 

AKHIR-akhir ini, Islamofobia menjadi gejala trend yang dianggap biasa dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja di negara-negara barat.

Islamofobia yang disebut sebagai takut kepada Muslim, ironinya adalah satu fenomena lebih cenderung kepada diskriminasi dan prejudis terhadap penganut agama Islam itu sendiri.

Islamofobia ini bukanlah satu isu yang baharu, malah telah lama dan semakin merawak dalam kalangan masyarakat termasuk Malaysia.

Isu ini amat merunsingkan memandangkan keselamatan umat Islam berada dalam ancaman.

Golongan ini bukan sahaja mengancam keselamatan orang dewasa, malah kanak-kanak juga menjadi sasaran mereka.

Islamofobia ini ditunjukkan dengan pelbagai cara seperti ucapan kebencian (hate speech). Mereka melemparkan pelbagai kata-kata kesat kepada orang Islam dan menimbulkan prasangka buruk dan kebencian masyarakat terhadap orang Islam.

Golongan Islamofobik ini juga melabelkan umat Islam sebagai pengganas (terrorist). Tanpa disedari, mereka telah pun dimomokkan dengan stigma negatif terhadap orang Islam.

Pada awalnya, kebanyakan daripada golongan Islamopfobik ini hanyalah termakan dengan kepercayaan umat Islam adalah pengganas dan pemberontak.

Kemudian lama kelamaan, mula timbul rasa tidak suka dan diskriminasi terhadap Muslim.

Kita dapat melihat pelbagai naratif mengelirukan disebarkan bukan sahaja di negara-negara barat malah ke serata dunia. Kebimbangan dan ketakutan orang-orang Islam semakin marak setelah pelbagai tuduhan dilemparkan demi menutup kesalahan ekstremis dan pengganas di luar sana dengan menjadikan umat Islam sebagai mangsa fitnah.

albuquerque-muslim-community-unity

Pengaruh dan ajaran Islam yang telah tersebar ke serata dunia menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan kelompok tertentu sehingga menyebabkan mereka mula meniupkan syak wasangka terhadap umat Islam. — Agensi

Contoh yang dapat dibuktikan adalah mereka memfitnah orang Islam melakukan keganasan mengancam nyawa kepada orang ramai meskipun keganasan itu sebenarnya dilakukan kelompok ekstremis dan pengganas.

Mereka sedaya upaya cuba untuk menutup gejala dilakukan kelompok tersebut dengan meletakkan kesalahan terhadap umat Islam.

Isu Islamofobia ini tidak datang secara bermusim, malah semakin marak diperbualkan dari hari ke hari.

Terdahulu, pada 21 Januari 2023, seorang ahli politik Denmark-Sweden iaitu Rasmus Paludan melakukan kegiatan yang melampaui batas dengan membakar naskhah kitab suci Al-Quran yang mana telah sedia maklum diketahui bahawa Al-Quran adalah kitab suci dan panduan hidup umat Islam.

Aksi tersebut telah dicaci dan dikutuk oleh umat Islam seluruh dunia memandangkan isu ini berkait rapat dengan Islamofobia dan ia menjatuhkan maruah umat Islam dan agama Islam.

Hal ini jelas menunjukkan isu Islamfobia ini bukan sahaja wujud dalam kalangan orang awam bahkan dalam kalangan ahli politik. Ia cukup membahayakan kerana ahli-ahli politik ini membawa pengaruh besar dan setiap gerak-geri mereka dicontohi oleh orang awam.

Tidak cukup dengan itu, ramai wanita beragama Islam yang memakai tudung atau hijab untuk menutup aurat telah dikecam dan disisihkan di negara barat. Mereka menganggap pakaian umat Islam yang telah menjadi kewajipan ini, sebagai suatu perbuatan untuk menunjukkan keganasan.

Prejudis dan stigma ini menimbulkan rasa takut dan waspada umat Islam untuk menetap di negara-negara barat termasuk menyambung pengajian mahupun mencari nafkah.

Lebih teruk lagi, mereka menyasarkan ramai umat Islam yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk diseksa, dibunuh dan sebagainya.

Situasi ini mengingatkan kita kepada sebuah kes pembunuhan yang menggemparkan umat Islam seluruh dunia setelah 4 orang lelaki beragama Islam dibunuh di Albuquerque, New Mexico.

Gabenor negeri di New Mexico menyifatkan pembunuhan ini sebagai ‘pembunuhan disasarkan’. Pihak polis New Mexico bertungkus-lumus mencari suspek yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan keempat-empat mangsa itu.

Selain itu, umat Islam juga banyak menjadi mangsa buli siber (cyberbully) melalui pelbagai platform sosial media. Mereka menyifatkan umat Islam sebagai pengganas, pemberontak dan sebagainya.

Perbuatan ini bukan sahaja menjatuhkan maruah umat Islam bahkan mengganggu emosi dan mental orang-orang Islam terutamanya remaja yang baru setahun jagung dalam dunia sosial media.

Isu Islamofobia ini dikaitkan dengan pelbagai punca. Antaranya, mereka berasa takut dengan pengaruh dan ajaran Islam yang telah tersebar ke serata dunia.

Hal ini cukup membimbangkan mereka dan menimbulkan rasa syak wasangka. Kemunculan propaganda ini juga adalah rentetan daripada sebuah insiden keganasan yang membabitkan orang Islam.

Hal ini dapat dijadikan sebagai alasan untuk mereka mengeruhkan lagi keadaan dan memarakkan lagi isu Islamofobia.

Selain itu, lumrah hidup beragama, haruslah mengikuti kewajipan dan larangan agama, termasuklah agama Islam, menepati pegangan, Islam adalah cara hidup.

Dengan berpegang kepada prinsip tersebut, umat Islam enggan mengikuti pengaruh budaya barat seperti mendedahkan aurat, minum arak dan sebagainya.

Hal ini menanamkan lagi rasa ketidakpuasan hati yang lebih dalam terhadap umat Islam. Lebih-lebih lagi, masyarakat muslim adalah masyarakat yang terkenal dengan sifat yang lebih tertutup dan menjaga, terutamanya kaum perempuan.

Bagi orang-orang barat, masyarakat muslim adalah masyarakat yang rasis dan perlu diasingkan. Mereka sering mempamerkan ketidakselesaan, kejanggalan dan kemarahan apabila berdekatan dengan orang Islam.

Sentimen agama ini diperkuatkan lagi apabila wujudnya perselisihan faham merentasi budaya, ilmu dan sebagainya. Ketegasan Islam dalam mendidik umatnya memperkukuhkan lagi rasa kemarahan golongan Islamofobia ini.

Budaya yang dibawa mereka kebanyakannya bercanggah dengan syariat agama Islam, menyebabkan umat Islam enggan mengamalkan budaya mereka kerana bimbang akan merosakkan aqidah dan pegangan mereka.

thumbs_b_c_3e1cda79221c0aecfd7afb1a2308c3bd

Perbuatan kumpulan Islamofobik ini bukan sahaja mengancam keselamatan orang dewasa, malah kanak-kanak. — Agensi

Justeru, pelbagai inisiatif yang cuba dilakukan oleh pemimpin dan umat Islam demi mengatasi propaganda Islamofobia ini dan untuk menjaga kemaslahatan diri dan agama. Antaranya, menyebarkan dakwah yang benar dan positif agar agama Islam dipandang tinggi.

Contohnya, dakwah juga dapat dilakukan melalui perdebatan intelektual dan berwibawa tanpa melibatkan unsur keganasan. Selain itu, penyebaran agama melalui pendidikan awal juga penting dalam mengelakkan mitos yang berunsur fitnah terhadap agama serta melahirkan rasa hormat.

Dalam pada itu, penting juga untuk orang Islam patuh pada undang-undang negara terhadap kebebasan beragama, demi meraikan perbezaan kepercayaan dan menangani isu diskriminasi yang membawa kepada jenayah yang meragut nyawa.

Akhir sekali, besar harapan saya taruh agar isu Islamofobia ini dapat dikurangkan demi kemaslahatan bersama di samping menanam rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira agama dan kepercayaan. — Majoriti

Noor Aina Yasmin Kamarulzaman merupakan pelajar Tahun Satu, Fakulti Pergigian daripada Universiti Sains Islam Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram