BUKAN calang-calang individu yang mampu menyelam pada kedalaman lebih 61 meter tanpa menggunakan tangki udara.
Namun, Syafidatul Azua Shafii, 38, berjaya membuktikan kemampuan dirinya untuk melakukan perkara yang hampir mustahil itu sekali gus menjadi salah seorang penyelam bebas wanita yang cukup disegani di negara ini.
Sejak terbabit secara kompetitif dengan sukan itu, banyak pencapaian yang membanggakan yang dikecapi sehingga berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia.
Anak jati Muar, Johor itu berjaya memecahkan lebih 30 rekod Malaysia dalam pelbagai disiplin sukan pada usianya mencecah 38 tahun termasuk Dynamic (DYN), Dynamic with Bi-fins (DYNB) dan Constant weight without fins (CNF) sejak 2013 menerusi penyertaan pertandingan di luar negara termasuk di Filipina, Indonesia, Serbia dan China.
Menerusi kepakaran yang dimiliki, dia yang juga jurulatih selam bebas di bawah agensi SSI International berjaya melahirkan 20 jurulatih dan melatih lebih 500 individu dalam bidang terbabit menerusi pusat latihan Apnea Odyssey Freediving yang ditubuhkannya di Kuala Lumpur.
Akuinya, antara keseronokan melakukan aktiviti itu apabila dia dapat menyelam dan menikmati keindahan dasar laut dengan lebih bebas.
"Menerusi aktiviti ini, peluang berenang dengan ikan paus dan ikan lumba-lumba lebih tinggi kerana tidak perlu menggunakan tangki udara yang boleh mengehadkan pergerakan serta menghasilkan bunyi.
Azua menyelam ke dasar laut menggunakan bi-fins.
Mencabar kemampuan diri
Jelas Azua, apa yang sebenarnya mendorong dirinya untuk jadi penerjun bebas adalah rasa ingin tahu terhadap had tubuh dan minda manusia.
“Saya sering bertanyakan pada diri saya sendiri dan saya menemui jawapannya apabila saya cuba sendiri kemampuan tubuh saya dengan menyelam,” katanya.
"Kajian tentang perkara apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan sedang dijalankan. Ia antara perkara paling menarik dalam menjadi penyelam bebas. Kami juga dapat mempelajari banyak tentang kemampuan kami," katanya.
Sukan ekstrem
Pada 2015, juara dunia terjun bebas Natalia Molchanova, 53, hilang ketika dia lakukan terjunan bebas berhampiran Formentera, sebuah pulau kecil di selatan Ibiza, Sepanyol.
Laporan mengatakan mayatnya tidak ditemui selepas dikatakan dia pergi menyelam sehingga kedalaman 35 meter dan tidak muncul kembali.
Azua berkata, walaupun penyelam bebas adalah sukan yang ekstrem, ia tidak semestinya berbahaya.
"Salah satu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh penyelam bebas ialah dengan melakukan aktiviti itu bersendirian kerana ia terlalu berisiko," katanya.
Menyelam antara aktiviti yang membuatkan dirinya gembira.
Menyelam meditasi terbaik
Walaupun bahaya, bagi Azua yang membesar di Muar, Johor dan meminati bidang selaman sejak menyertai skuba diving sejak 2009, aktiviti menyelam bebas merupakan satu meditasi dan terapi.
Jelasnya, apabila dia menyelam ke dalam dasar laut, dia rasa sangat gembira.
“Apabila saya terjun bebas, hanya diri dan fikiran saya dan tiada perkara lain. Saya boleh berehat dan menurunkan degupan jantung saya. Saya boleh mengukur sama ada hati saya sihat, paru-paru saya sihat dan minda saya sihat,” katanya.
"Apabila saya lakukan aktiviti ini, saya rasa sangat tenang. Saya dapat rasakan dengan menyelam saya boleh menilai tahap kesihatan jantung, paru-paru dan minda saya.
Bagaimanapun, dia berpendapat bahawa kualiti meditasi itu hanya datang selepas latihan bertahun-tahun.
“Anda tidak akan dapat ketenangan ini dengan cepat kerana terdapat banyak perkara yang harus badan anda fahami dan menjiwai ketika berada di dalam air untuk mendapatkan kepuasan meditasi ini," katanya.
Mengulas lanjut, antara cabaran yang dihadapi pada awal pembabitannya dalam sukan ini adalah lokasi latihan yang agak terhad.
"Selain itu, kos latihan agak tinggi kerana perlu menyewa bot dan perlu ke luar negara seperti Filipina atau Indonesia untuk menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih bertauliah di sana," katanya. — The Star/ SYIDA LIZTA AMIRUL IHSAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram